suria

Shahrizal Jaszle Curang, Tunang Undur Diri

Shahrizal mengesahkan dia kini bersama kekasih baharu yang dikenali sebagai Hanis menerusi Instagram miliknya.

PETALING JAYA: "Biarlah saya undur diri…” Itulah pengakuan jujur Redzwani Puteri apabila ditanya sejauh manakah hubungannya dengan Shahrizal Jaszle selepas pelakon itu mengaku sudah mempunyai kekasih baharu.

Redzwani, 26, berkata, selepas mendapat tahu Shahrizal Jaszle atau Shahz Jaszle mempunyai hubungan dengan wanita yang dikenali sebagai Hanis Husna, perasaan sayangnya terhadap lelaki itu sudah pun pudar.

“Mereka (Shahrizal dan Hanis) mengaku mereka adalah sepasang kekasih. Maka tiada lagi kewujudan saya,” katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini pada malam Selasa.

Pada Sabtu lalu, Shahrizal, 26, telah memuat naik foto mesra di laman Instagram miliknya bersama Hanis sedangkan dia dikatakan masih lagi tunangan orang.

Wanita terbabit dalam satu laporan sebuah akhbar pada Selasa mendedahkan mereka sebenarnya adalah pasangan kekasih selepas Shahrizal memutuskan hubungannya dengan Redzwani.

wqd
Redzwani akhirnya memutuskan mengundur diri selepas mendapat tahu, tunangnya, Shahrizal memiliki kekasih baru.

Shahrizal kini menjalani penggambaran drama di Australia tidak dapat dihubungi bagi mengulas mengenai kemelut itu.

Dalam pada itu Redzwani enggan mengulas panjang  mengenai status hubungannya dengan Shahrizal namun mendoakan agar pelakon itu bahagia dengan wanita berkenaan.

“Tentang apa yang telah berlaku, tiada apa yang saya boleh katakan. Mereka pun telah membuat kenyataan masing-masing. Jadi, tak perlulah saya cakap panjang lebar. Semoga mereka bahagia dan berjaya dalam karier masing-masing.

"Saya di sini baik-baik sahaja, Alhamdulillah. Saya juga ingin memohon maaf atas kelewatan saya untuk mengulas tentang perkara ini. Harap, semua faham dengan keadaan saya,” ujarnya.

Ditanya adakah Redzwani masih lagi menyayangi dan mencintai Shahrizal, wanita itu menjawab: "Tidak."

Sementara itu, ibu Shahrizal yang mahu dikenali sebagai Zaleha, 69, pula berasa sedih dengan apa yang berlaku dan menganggap hubungan anaknya dengan Redzwani sebagai sudah tiada jodoh.

Zaleha berkata, pasangan berkenaan sudah berakhir secara rasmi sejak akhir tahun lalu selepas keluarga Redzwani memulangkan semula cincin pertunangan.

"Secara rasminya hubungan mereka sudah putus pada akhir tahun lalu selepas keluarga Redzwani sendiri datang memulangkan cincin tersebut kepada saya.

"Bagaimanapun, anak saya (Shahrizal) masih mahu bersama lagi dan mereka masih berhubung seperti biasa. Sebagai ibu saya mahukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka.

rty454
Shahrizal membuat kenyataan menerusi Twitter miliknya mengesahkan hubungannya dengan Redzwani sudah berakhir.

Apa nak buat, mungkin tiada jodoh mereka untuk bersama," katanya ketika dihubungi mStar Online, pada Selasa.

Mengulas tentang wanita yang didakwa kekasih baharu Shahrizal itu, Zaleha enggan memberi sebarang komen sebaliknya akan bertanyakan hal itu selepas anaknya pulang ke Malaysia.

"Saya tak mahu komen apa-apa  dan tunggu dia (Shahrizal) balik dahulu," katanya.

Pada 10 April lalu, Redzwani memberitahu mStar Online hubungannya dengan Shahrizal masih lagi baik walaupun tunangnya itu sedang menghadapi perbicaraan kes khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini.

Shahrizal ditangkap khalwat ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai penguatkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013. Kesnya masih dibicarakan di mahkamah.

Insiden itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Redzwani merupakan pelajar jurusan kedoktoran di Management and Science University (MSU), Shah Alam dekat sini.

Selain kedua-dua wanita berkenaan Shahrizal sebelum ini pernah dikaitkan dengan pelakon Miera Liyana dan Maria Farida.

 

 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain