suria

Fizz Fairuz & Almy Nadia Selamat Bernikah

Fizz Fairuz menyerahkan mas kahwin kepada Almy Nadia selepas mereka selamat diijabkabulkan.- Foto ZAINUDDIN AHMAD/THESTAR.

PETALING JAYA: Pelakon Fizz Faizruz sah bergelar suami kepada aktres Almy Nadia dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang pada petang Sabtu.

Majlis akad nikah yang berlangsung kira-kira pukul 6 petang disempurnakan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pulau Pinang, Ustaz Norazli Mat.

Almy Nadia berwalikan wali hakim.

Pada majlis itu Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 35, menyerahkan mas kahwin RM1,001 manakala wang hantaran sebanyak RM20,000 kepada pengantin perempuan.

Pihak lelaki turut memberikan sembilan dulang hantaran antaranya minyak wangi, beg tangan, sejadah, sirih junjung, kek dan cincin.

Ia dibalas sebelas dulang hantaran oleh pengantin perempuan antaranya sirih junjung, buah-buahan, Al-Quran, jam, kasut iPad Mini dan cincin.

Fizz melahirkan rasa syukur dengan pernikahan itu dan berharap rumah tangga mereka akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

"Alhamdulillah, akhirnya kami disatukan selepas pelbagai rintangan yang dilalui. 

"Saya harap kali ini kami dapat hidup bersama sehingga akhir hayat, InsyaAllah," katanya kepada mStar Online.

Fizz dan Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, telah menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun.

Sepanjang tempoh percintaan itu mereka pernah putus dan menjalinkan hubungan semula. Dalam pada itu, Almy turut memiliki seorang anak angkat bernama Nur Afrina Darwisya yang berusia lima tahun.


Almy Nadia, Fizz Fairuz

Artikel Lain