PETALING JAYA: Juara Skool of Lawak iaitu Zam, menjelaskan kemenangannya dalam rancangan itu tidak akan membuatkan dia terfikir mahu menutup perniagaan kereta sewa yang diusahakannya sebelum menyertai program tersebut. Zam atau nama sebenarnya Muhammad Rizam Zaaffar, 26, berkata, dia enggan berbuat demikian memandangkan perniagaan itu telah diusahakan sejak tiga tahun lalu dan ia merupakan punca rezekinya sebelum ini. "Sayang rasanya kalau nak tutup perniagaan itu kerana saya sudah lama mengusahakannya. "Lagipun sepanjang saya sibuk dengan Skool of Lawak, rakan saya yang membantu menjaga perniagaan tersebut. Dan seandainya saya masih lagi sibuk dengan kerja-kerja seni, maka rakan saya itulah yang akan membantu saya nanti," katanya kepada mStar Online. Zam diumumkan sebagai juara Skool of Lawak. Pada Jumaat lalu, Zam berjaya merebut gelaran juara Skool Of Lawak dan meraih wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi. Ia telah berlangsung di Megastar Arena di sini dan disiarkan menerusi Astro Warna. Sementara itu, Zam turut mengakui kejayaannya itu sebagai permulaan untuk dia menjadi seorang pelawak profesional yang berjaya. Zam turut berhasrat mahu terus mengasah bakatnya dengan menyertai program popular Maharaja Lawak Mega pula, untuk bersaing dengan pelawak-pelawak popular. "Saya bukan mahu tunjuk hebat, tetapi mahu bersaing dengan golongan hebat ini bagi mengasah lagi bakat lawak saya ini. "Ini sahaja cara yang ada bagi mempertingkatkan lagi mutu komedi yang saya ada agar peminat-peminat tidak bosan dengan saya," ujarnya.