suria

Terhibur Dan Sebak Dalam Konsert Forteen

Forteen pukau para penonton dengan persembahan nyanyian yang bersahaja.

KUALA LUMPUR: Penyanyi berkumpulan Forteen berjaya memukan para penonton sehinggakan membuatkan mereka 'histeria' sepanjang berada di pentas konsert Kita 20Forteen yang berlangsung di Kl Live, Jalan Sultan Ismail, di sini pada petang Sabtu.

Seramai 1,000 penonton yang hadir tidak henti-henti menjerit dan memanggil nama-nama ahli kumpulan itu sepanjang konsert berlangsung.

Forteen membuka tirai persembahan dengan menyanyikan lagu Tidak Pernah Berjumpa diikuti dengan lagu Skyfall nyanyian Adele kira-kira pukul 4.30 petang.

Biarpun pertama kali mengadakan persembahan seumpama itu, kumpulan tersebut yang dianggotai oleh One, Izzue Islam, Aris dan Amir langsung tidak membuatkan penonton kecewa dan kelihatan bersedia  dalam aksi persembahan mereka.

"Alhamdulillah, kami tidak sangka mempunyai penonton yang luar biasa. Susah nak dapat penonton yang gila-gila menjerit nama kita tanpa henti di industri muzik tempatan kita sekarang ini. Ia sekali gus memberikan kami semangat dalam membuat persembahan.

"Pada masa sama, kami juga telah membuktikan bahawa penyanyi muda seperti kami juga mampu mengadakan konsert. Apa-apa pun, tanpa pihak penganjurnya, yang juga merupakan syarikat rakaman kami, KRU Music, kami tidak akan berada sehingga ke tahap ini," kata salah seorang ahli kumpulan itu, One.

hey54
Izzue ditenangkan ahli-ahli Forteen ketika menangis ketilka membawakan lagu 'Dikau Saja'.

Sebanyak 18 buah lagu disampaikan dalam konsert hampir dua jam itu yang antaranya ialah Berdua Bersatu, Ketika Ini, Treasure, Seperti Dulu, Dikau Saja, Untuk Sahabat, Pencuri, Nakal, Laksamana Raja Di Laut, Bila Rindu, Jangan Lafazkan, hati Terluka dan Kita.

Dalam pada itu, menerusi segmen khas memperingati golongan-golongan kurang berkemampuan, Forteen telah menyampaikan lagu Dikau Saja diiringi dengan klip video mereka melawat Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat, Taman Megah dekat sini.

Ketika menyampaikan lagu tersebut, Izzue tiba-tiba menangis kerana tidak tahan melihat keperitan yang dibawa kanak-kanak istemewa itu sehingga suasana sedih itu turut membuatkan para penonton berasa sebak.

Secara keseluruhannya, konsert Kita 20Forteen membuktikan kumpulan itu bukan sekadar menjual rupa semata-mata tetapi sekali gus menaik taraf kerjaya nyanyian mereka yang selama ini diragui terutamanya kemampuan mereka dalam menyanyikan lagu secara langsung.
Kita 20Forteen, Forteen

Artikel Lain