PETALING JAYA: Pelakon Natasha Hudson menjelaskan keputusannya menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Pengajian Islam di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat adalah salah satu cara untuk mendalami agama Islam. Natasha atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson 32, berkata, dia tidak mahu penghijrahannya hanya sekadar di bibir sebaliknya mahu memperbaiki diri dengan cara diredai Allah. "Saya tidak mahu sekadar berhijrah pada kata-kata dan ingin mendalami ilmu tentang Islam dan itu adalah tujuan utama mengapa saya dan suami mengambil diploma dalam pendidikan Islam. "Masih banyak perkara yang saya tidak faham dan menerusi pembelajaran ini ia banyak memberi manfaat dan pemahaman tentang Islam dalam diri saya," katanya kepada mStar Online. Tambah Natasha, dia juga bertuah kerana suaminya, Carleed atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 34, turut mengambil kursus dalam bidang serupa selain mereka dapat berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pendapat tentang pembelajaran masing-masing. Natasha bersama suaminya Carleed Malah kata Natasha, mereka bukan sahaja dapat menambah ilmu tetapi hubungan suami-isteri akan menjadi lebih akrab dan romantik. Mereka juga sudah bercadang untuk menyambung pengajian sehingga peringkat ijazah selepas menerima diploma pada akhir Mei ini. "Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah dan Insya-Allah jika ada rezeki kami akan menyambung ke peringkat ijazah pula memandangkan Institut Arees bakal dibuka di Malaysia tidak lama lagi. "Biarpun sibuk dengan keluarga ia tidak menjadikan kami lemah untuk mencari ilmu malah hubungan kami semakin rapat," ujarnya. Dalam pada itu, Natasha berkata, dia sudah bersedia untuk kembali ke dunia lakonan selepas menyepi bagi memberikan tumpuan kepada keluarga dan perniagaan dalam taliannya. Natasha mengakui rindu untuk kembali berlakon dan berharap dapat memegang watak yang bersesuaian dengan penampilannya yang sudah bertudung. "Rindu itu memang ada tetapi sebelum ini ada beberapa komitmen yang perlu saya utamakan dan kini saya sudah bersedia untuk kembali berlakon jika masih ada rezeki saya. "Pun begitu saya akan lebih selektif terhadap watak yang diberikan agar sesuai dengan imej dan penampilan saya sebagai muslimah," jelasnya. Sementara itu, Natasha yang turut sibuk menguruskan perniagaan pakaian muslimahnya iaitu Dreamclouds memberitahu bakal melancarkan pakaian bayi perempuan dalam masa terdekat. Jelas Natasha, dia ingin memfokuskan kepada pakaian bayi perempuan kerana pilihan yang ada di pasaran agak terhad terutamanya bagi yang berumur satu hingga tiga tahun. "Kadang-kadang nak cari gaun yang comel dan cantik untuk bayi perempuan memang sukar jadi dari situ timbul idea saya untuk melancarkan jenama baharu saya ini kepada pelangaan dalam masa terdekat. "Malah saya juga dalam proses menyiapkan laman web rasmi untuk tujuan tersebut," ujarnya.