PETALING JAYA: Pengarah filem Dharma Aizat yakin filem arahan terbaharunya berjudul Ia Wujud dapat diterima penonton meskipun ia tidak melibatkan sebarang pelakon profesional sebagai pelaris karya tersebut. Dharma berkata, pelbagai kejadian misteri dalam karya itu hasil rakaman asal sekumpulan anak muda di sebuah taman tema yang telah ditutup adalah kekuatan utama kepada filem berkenaan. "Filem ini sebenarnya diarahkan oleh kelima-lima mereka yang pergi ke taman tema berkenaan berbekalkan beberapa buah kamera untuk merakamkan kejadian pelik di tempat tersebut yang telah ditutup sejak tahun 1994 dan saya sebagai pengarah dan pengarah filem ini kagum dengan apa yang mereka hasilkan. "Ia Wujud adalah sebuah filem misteri cukup berbeza biarpun tidak menampilkan sebarang pelakon popular tetapi jalan cerita dan pengalaman kelima-lima mereka sudah memadai untuk menjadikan karya ia menarik," katanya kepada mStar Online. Dharma ditemui pada majlis tayangan perdana filem Ia Wujud yang diadakan di TGV Sunway Pyramid dekat sini Isnin lalu. Filem ini ditayangkan pada 15 Mei yang menampilkan Zakaria Zahid, 27, Ahmad Syafiq, 22, Muhd Arif Adam, 20, Anam Azizan, 23 dan Tom, 25 sebagai pelakon utama. Kelima-lima individu berkenaan merakamkan suasana di sebuah taman tema dengan tujuan untuk mencari kisah alam misteri. Dalam pada itu, Dharma berkata, dia mengalami kesukaran bagi mencari visual terbaik selain cuba mengolah jalan cerita agar ia kelihatan tersusun dan menyakinkan. "Kesemua visual yang diperoleh ada lebih kurang enam jam kesemuanya dan saya perlu meneliti kesemua bahan yang ada dan ia bukan kerja yang mudah kerana mereka bukan profesional dalam mengendalikan kamera. "Tetapi kami berjaya mendapatkan rakaman-rakaman menarik selain menyusun semua perbualan mereka dalam video berkenaan supaya dapat menjadikan sebuah kisah yang menarik untuk di filemkan," ujarnya. Sementara itu, pelakonnya Zakaria berkata, pelbagai kisah mistik yang didengar mengenai taman tema itu dan mereka berlima terpanggil untuk pergi sendiri bagi mencari bukti tentang apa yang diperkatakan. "Sebenarnya sudah agak lama kami menyimpan semua visual-visual yang berjaya dirakamkan kerana ia hanya sekadar suka-suka sahaja namun selepas menonton filem Highlands Tower kami terpanggil untuk memaparkan semua bukti yang diperolehi kepada umum. "Daripada situ kami mendapat idea untuk bertemu dengan pihak pengurusan MIG dan Alhamdulillah mereka menyukai dengan apa yang kami berjaya hasilkan sehinggalah ia siap sebagai sebuah filem," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, mereka mahu penonton melihat sendiri pengalaman mereka sepanjang berada di taman tema itu bukan kerana ingin menggalakkan kepercayaan terhadap perkara syirik sebaliknya sebagai pengajaran dan pemahaman bahawa makhluk halus sebenarnya wujud.