PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Akim Ahmad meluahkan rasa sedih kerana sudah dua tahun tidak mendapat apa-apa tawaran untuk beraksi dengan pihak produksi sebuah stesen televisyen. Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 23, turut berpendapat, ini kerana pihak berkenaan lebih mementingkan artis lain untuk menjayakan sesebuah program televisyen mahupun drama mereka "Kalau nak tahu, sudah hampir dua tahun saya tak terlibat dengan produksi untuk stesen TV itu. Mungkin saya bukan artis kesukaan mereka? Apa nak buat..." katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun tambah Akim, perkara itu tidak menjejaskan semangatnya untuk mengembangkan kerjaya di bidang lakonan dan nyanyian kerana dia percaya masih ada pihak yang lagi mempercayai bakatnya. Akim dan Hafiz bakal mengadakan persembahan Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan. Sementara itu, selepas terlibat dengan beberapa drama yang antaranya seperti Kampung Girl dan Mencari Ramli di stesen TV3, Akim merancang untuk berehat dalam lakonan dan memberikan fokus semula dengan kerja nyanyiannya pula. Terbaharu, Akim menubuhkan sebuah kumpulan band Akim & The Magistreet dengan sebuah single lagu berjudul Mewangi. "Tujuan menubuhkan kumpulan band adalah untuk kepuasan ketika membuat persembahan. Saya rasa lebih bersemangat apabila ada band. Bagaimanapun saya masih lagi mengekalkan status sebagai penyanyi solo," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Akim bakal terlibat dengan persembahan 'showcase' Hafiz & Friends bersama-sama dengan rakan seperjuangannya, Hafiz dan Hazama. Persembahan tersebut akan berlangsung di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan. Tiket persembahan berharga RM60 dan RM70 boleh dibeli dengan menghubungi 06-2925188 atau [email protected]