KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia Firman terkejut apabila beberapa pusat karaoke di negaranya telah memainkan single lagu baharu, Rindu Serindu Rindunya tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak syarikat rakamannya One Stage. Firman atau nama sebenarnya Firman Siagian, 36, berkata, lagu nyanyian asal kumpulan 90-an, Spoon, itu begitu popular sejak ia dilancarkan baru-baru ini, namun tidak sangka ia digunakan pihak pusat karaoke dan setakat ini pihaknya serta pengurusan di Malaysia iaitu Life Records sedang meneliti tentang perkara itu. "Tidak sangka mereka (premis pusat karaoke) memainkan lagu saya sedangkan klip videonya baru saja selesai disiap. Mereka menggunakan klip video saya yang lama menyiarkan lagu Rindu Serindu Rindunya. "Difahamkan ia adalah kerana atas dasar permintaan tinggi daripada pelanggan yang mahu menyanyikan lagu itu. Tidak elok rasanya pihak tersebut mendapat keuntungan sedangkan ia di bawah hak cipta pengurusan saya," katanya. Firman bakal mengadakan showcase 'Exclusive Night With Firman In Kuala Lumpur' pada 31 Mei ini. Firman ditemui pada majlis sidang media 'showcase' Exclusive Night With Firman In Kuala Lumpur di Hotel Seri Pacific di sini pada Isnin. Bagaimanapun, tambah penyanyi yang popular dengan lagu Kehilangan itu, dia mengambil isu tersebut sebagai satu perkara positif di mana para peminatnya menyukai lagu baharunya itu. Sementara itu, mengenai 'showcase' Firman, ia bakal berlangsung pada 31 Mei ini di Pacific Ballroom Hotel Seri Pacific di sini pada pukul 9 malam. "Alhamdulillah, akhirnya saya dapat meluangkan masa bersama peminat menerusi showcase ini. "Saya akan membawakan sebanyak 10 buah lagu dan semestinya akan memberikan kejutan kepada penonton yang hadir," ujarnya. Tiket berharga RM98, RM168 dan RM268 boleh dibeli di hotel tersebut atau menerusi talian 014-9994476 (June Leez).