suria

Abby Abadi Sah Dicerai Talak Satu

KUALA LUMPUR: Bekas anggota kumpulan Elite dan pelakon Abby Abadi sah bercerai talak satu dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada Rabu.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang mendengar kes pasangan tersebut memutuskan lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Muhammad Noor Farhan pada 9 Mei lalu selaku defendan adalah sah mengikut rukun dan syarak yang ditetapkan.

Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan kedua-dua belah pihak berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Noor Farhan memberitahu mahkamah dia memang berniat untuk menceraikan isterinya selalu plaintif dalam kes berkenaan dan sedar dengan tindakannya ketika menghantar SMS berkenaan.

Abby redha dan menganggap penceraian itu sebagai ujian daripada Allah.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 37, pada sebutan pertama pada 29 Mei lalu memberitahu mahkamah Farhan membuat lafaz tersebut pada pukul 10.25 pagi selepas mereka bertengkar pada malam sebelumnya.

Bagaimanapun kes tersebut ditangguhkan selepas Abby mendedahkan kepada mahkamah Muhammad Noor Farhan pernah memaklumkan kepada seorang teman pada Januari lalu menerusi SMS bahawa dia sudah "tiada apa-apa lagi" dengan Abby.

Shaiful Azli yang turut mendengar kes berkenaan dalam mahkamah sama selepas memerintahkan pasangan berkenaan memfailkan kes berkenaan memutuskan lafaz kali pertama itu tidak sah mengikut rukun dan hukum syarak.

Farhan lega kes penceraiannya dengan Abby telah pun selesai.

Sementara itu, Abby ketika ditemui berkata, dia redha dan menganggap penceraian itu sebagai ujian daripada Allah.

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.

Pelakon siri Gerak Khas itu sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Norman Hakim dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.

Abby Abadi

Artikel Lain