suria

Alibi Music Kecilkan Operasi, Kenalkan Lapan Artis Baharu

Artis dan pihak pengurusan Alibi Music.
KUALA LUMPUR: Syarikat rakaman Alibi Music mengakui krisis ekonomi dan kelembapan industri hiburan tempatan sekitar tahun 2012 menyebabkan syarikat tersebut terpaksa mengecilkan operasi.

Pengarah Urusan Alibi Music, Ferhard Ahmad berkata, pihak mereka terpaksa mengurangkan tenaga pekerja dan artis serta mengatur semula strategi perniagaan.

"Kami bermula dengan 18 orang artis dengan melancarkan puluhan album, single dan  klip video artis-artis terkenal.

"Namun dua tahun selepas itu perniagaan agak suram dan industri hiburan semakin nazak membuatkan kami mengurangkan kos dan produksi.

"Di sebabkan perkara itu juga orang ramai ingat Alibi sudah berkubur dan tidak beroperasi lagi, sebaliknya kami masih aktif biarpun tidak seperti dahulu," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis Bersama Bintang Alibi Music di Universiti Malaya, dekat sini, Selasa.

Pada majlis itu, Alibi memperkenalkan seramai lapan orang artis baharu yang bernaung bawah syarikat rakaman tersebut.

Antaranya ialah Mafarikha Akhir, Lokman Aslam, Ayish Mentor, FMG, Muadz, Andy Merican, Delisha dan Wana.

Tambah Ferhard, pemilihan kesemua artis ini dilakukan secara teliti dengan mementingkan kebolehan mereka menyanyi secara langsung.

"Kita teliti dalam pemilihan penyanyi kali ini, kita mahu kesemua mereka boleh membuat persembahan secara langsung dan bukan sekadar rakaman sahaja.

"Selain itu, kesemua mereka mempunyai kelebihan membuat lagu sendiri dan pihak syarikat sentiasa memberi peluang untuk mereka menyanyikan lagu-lagu ciptaan sendiri," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, sebagai pengarah urusan dia bertanggungjawab menentukan lagu yang sesuai dinyanyikan dengan mengikut trend semasa.

Ferhard berkata, kesemua artis baharu naungannya mengikat kontrak sekurang-kurangnya dua tahun berada dalam syarikt rakaman itu.

"Dulu kita buat kontrak setahun sahaja tetapi ia rugi kepada kami kerana tempoh setahun itu terlalu singkat dan tidak semestinya radio memainkan lagu itu awal.

Oleh itu dengan kontrak baru ini memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya.
Alibi Music

Artikel Lain