KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Irma Hasmie teruja apabila doktor mengesahkan dia dan suaminya, Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan bakal menimang seorang bayi perempuan. Irma, 32, berkata, sejak mengetahui hamil buat kali kedua pada akhir tahun lalu, dia memang mengimpikan untuk mendapat anak perempuan dan bersyukur doanya dimakbulkan Tuhan. "Mula-mula saya resah juga kerana sudah beberapa kali buat imbasan sebelum ini masih belum nampak jantinanya dan Alhamdulillah akhirnya doktor mengesahkan bakal mendapat bayi perempuan. "Saya paling teruja berbanding suami kerana saya memang mengimpikan mendapat anak perempuan dan Insya-Allah lengkap keluarga kami kerana sebelum ini saya sudah dapat anak lelaki," katanya kepada mStar Online. Irma ditemui pada majlis pelancaran Program Ramadan TV Al-Hijrah yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Irma masih aktif sebagai pengacara program Assalamualaikum biarpun sedang sarat mengandung. Irma dijangka bersalin pada 18 Julai depan. Dalam pada itu Irma berkata, biarpun teruja namun persiapan bagi menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka dibuat secara sederhana. Kata Irma, barangan anak lelakinya, Redza Syah Irfhan, yang kini berusia setahun masih elok dan boleh lagi digunakan. "Ikutkan perasaan memang ingin beli banyak benda tetapi banyak barangan milik Irfhan masih elok dan boleh digunakan. "Saya hanya beli beberapa keperluan seperti baju bayi perempuan dan beberapa barangan yang perlu sahaja," ujarnya. Dalam pada itu Irma berkata, biarpun tarikh dia dijangka bersalin semakin hampir namun itu tidak menghalangnya daripada terus aktif sebagai hos program Assalamualaikum yang bersiaran secara langsung di TV Al-Hijrah. Menurut Irma, kemunculan sebagai hos program bual bicara itu tidak membebankan dan jadual tugasnya juga fleksibel. "Alhamdulillah setakat ini masih ada kekuatan untuk bekerja dan ia sebenarnya membantu saya supaya bergerak aktif selain menjaga anak sulung. "Biasalah jika kadang-kadang berasa penat kerana berbadan dua tetapi itu tidak menjadi halangan buat saya," jelasnya. Dalam perkembangan lain Irma berkata, bersempena kedatangan bulan Ramadan dan Syawal dia turut mengambil kesempatan untuk menjual pakaian Muslimah yang direkanya sendiri. Jelas Irma, koleksi yang diberi nama Debumas itu akan dijual menerusi laman Instagram miliknya bermula 1 Ramadan depan.