PETALING JAYA: Pelakon Adam Corrie melakukan tiga solat sunat iaitu solat Taubat, Istikarah dan Hajat bagi mendapatkan petunjuk daripada Allah dalam usahanya untuk memaafkan pihak yang telah menabur fitnah terhadapnya sebelum ini. Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 45, berkata, mengambil keberkatan bulan Ramadan dia sudah pun memaafkan pihak terbabit dan sentiasa berdoa agar individu tersebut mendapat hidayah atas kesalahan yang dilakukannya. "Saya lakukan tiga solat sunat bukan sahaja untuk mendapat petunjuk malah berdoa agar individu berkenaan diberikan hidayah agar dia insaf terhadap perbuatannya terhadap saya. "Saya tidak mahu berdendam dan telah pun memaafkan atas perkara yang dilakukan terhadap saya sehingga menyebabkan saya dikecam dan periuk nasi saya sebagai pelakon terganggu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis. April tahun lalu Adam pernah membuat laporan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) selepas hilang punca pendapatan hampir RM40,000 gara-gara tiada tawaran berlakon selepas tersebar gambar kononnya dia menyertai Pas oleh pihak tersebut. Kata Adam, gara-gara kejadian tawaran berlakon yang sepatut diterimanya semakin berkurangan dan keadaan itu masih berlarutan sehingga ke hari ini. "Sehingga ke hari ini kejadian itu masih memberi kesan kepada periuk nasi saya tetapi tidak mengapa kerana rezeki itu ditentukan Allah," ujarnya. Dalam pada itu, Adam berkata, pihak berkenaan tidak pernah tampil memperbetulkan keadaan apatah lagi meminta maaf kepadanya atas kesalahan itu. "Pihak yang menabur fitnah terhadap saya itu sehingga hari ini tidak meminta maaf kepada saya apatah lagi untuk berjumpa saya. "Saya tidak pasti sama ada dia sengaja mengelak daripada bertemu dengan saya atau sebenarnya malu untuk berbuat demikian,” katanya. Dalam perkembangan lain, Adam berkata, selepas tujuh tahun bergelar seorang mualaf dia kini semakin selesa dan yakin menjalani ibadah puasa berbanding semasa mula-mula memeluk agama itu kerana pengetahuan mengenainya masih cetek. Jelas Adam lagi, setiap kali tiba Ramadan dia sentiasa cuba meluangkan masa untuk solat Terawih berjemaah di masjid berdekatan. "Menjalani ibadah puasa, saya tiada masalah kerana sejak kecil memang sudah terbiasa ikut berpuasa jika tiba Ramadan cuma pengetahuan tentang solat Terawih dan perkara-perkara lain membuatkan saya kekok kerana tiada yang membimbing saya. "Alhamdulillah selepas tujuh tahun saya semakin selesa dan yakin untuk menjalani ibadah berkenaan dan sentiasa ternanti-nantikan waktu solat Terawih," katanya. Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007 sebelum berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 35, pada 2008. Selain aktif sebagai pereka tari, Corrie juga telah berlakon lebih 10 buah filem yang kebanyakannya untuk watak antagonis ataupun gengster Cina. Antara filem lakonan beliau ialah Paloh, Spinnng Gasing, KL Gangster, KL Gangster 2, Libas, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam, Gangster Celop dan Darah Panas.