PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari menafikan kelab peminatnya iaitu Johan As'ari Fan Club (JAFC) yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu dibubarkan gara-gara mempunyai masalah dalaman seperti yang diperkatakan beberapa pihak. Johan, 28, berkata, JAFC bukan mahu dibubarkan sebaliknya pengurus kelab berkenaan ingin meletakkan jawatan atas urusan peribadi dan tempatnya akan digantikan oleh ahli-ahli lain. "Sehingga kini saya tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan kelab peminat JAFC. Setiap tahun kami menjalani pelbagai aktiviti riadah bersama. "Mungkin orang salah faham dengan kenyataan pengurus JAFC kerana dia seorang sahaja yang tidak akan terlibat dengan kelab itu lagi. Tetapi JAFC tidak dibubarkan," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Khamis. Johan diminta mengulas mengenai status yang dimuat naik di akaun Instagram milik JAFC membuat pengumuman bahawa kelab tersebut akan dibubarkan serta merta pada Rabu lalu. Status pembubaran JAFC yang dimuat naik pengurus kelab tersebut. Malah pengurus kelab berkenaan turut meminta ahli-ahlinya untuk menuntut bayaran ahli sehingga 31 Julai ini. Keadaan itu menimbulkan persoalan di mana berkemungkinan besar Johan mempunyai masalah dalaman dengan kelab peminat berkenaan. Ditanya sekali lagi kepada Johan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus JAFC, Johan berkata pengurus itu mungkin tidak tahu menggunakan laman sosial berkenaan sehingga membuat kenyataan yang menimbulkan persoalan kepada para peminatnya. "Entahlah, dia (pengurus JAFC) tidak tahu menggunakan Instagram kut," ujarnya. Sementara itu, mengenai perkembangan isu pendapatannya yang disekat selepas Zizan Razak yang juga pengarah syarikat pengurusannya, Wire Fame Entertainment Sdn Bhd, Johan berkata, sehingga kini dia masih lagi belum menerima bayarannya. "Saya harap sangat masalah Wire Fame dapat diselesaikan segera kerana saya memerlukan wang saya itu secepat mungkin. Lebih-lebih lagi Hari Raya dah nak dekat, banyak keperluan yang perlu dibelanjakan," tuturnya.