suria

Penerbit TV Tuntut RTM Beri Penjelasan Slot Penuh Sehingga 2015

PETALING JAYA: Presiden, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Jurey Latiff Rosli berasa terkejut apabila slot program yang disediakan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah penuh sehingga akhir tahun 2015.

Jurey berkata, dia pelik dengan keadaan itu dan tertanya-tanya penerbit drama manakah yang mengisi slot tersebut sedangkan terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui oleh semua penerbit sebelum pihak RTM membeli program yang dipilih.

"Saya terkejut apabila diberitahu slot di RTM sudah penuh sehingga hujung tahun 2015. Perkara ini membuatkan ramai penerbit yang merungut kerana mereka mungkin tidak akan ada projek pada tahun depan sekiranya ia benar-benar berlaku.

"Pada masa sama saya tertanya-tanya siapakah yang telah mengisi slot-slot yang disediakan sehingga menjadi penuh sepanjang tahun depan?

"Adakah terdapatnya 'anak emas' dalam RTM yang hanya memberikan slot kepada satu pihak sahaja? kami perlukan penjelasan daripada pihak RTM," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Tambah Jurey, mengikut prosedur pembelian sesebuah drama di RTM, seseorang prosedur akan menghantar kertas cadangan kepadam pihak RTM terlebih dahulu dan kemudian sesi penilaian atau 'pitching' akan berlangsung. 

Sekiranya kertas cadangan diluluskan, pihak RTM akan memberi surat niat tanda lulus, diikuti dengan sesi pembentangan sebelum mendapat surat tawaran daripada stesen televisyen berkenaan.

Proses tersebut memerlukan masa dari tiga hingga empat bulan.

Bagaimanapun kata Jurey, dia berasa musykil memandangkan kebanyakan penerbit hanya mendapat surat niat sahaja dan kemudian pihak stesen tersebut tidak memberikan sebarang jawapan selepas itu.

"Ramai penerbit yang hanya mendapat surat niat dan kemudian pihak RTM senyap tanpa sebarang berita memberikan informasi lain atau menjalankan prosedur seterusnya.

"Selain itu bayaran yang diberikan pihak RTM juga semakin dilambat-lambatkan sehingga mengambil masa enam bulan. Ini menyukarkan pihak penerbit untuk menggunakan semula wang untuk menghasilkan program lain," ujarnya.

Sementara itu, Jurey berasa risau, sekiranya slot sudah pun dipenuhkan, berkemungkinan besar ramai penerbit di negara ini tidak akan mempunyai pekerjaan kerana tiada slot buat mereka dalam menerbitkan program.

"Keadaan seperti ini boleh merosakkan industri sebenarnya dan banyak syarikat penerbitan drama boleh 'bungkus'.

"Saya pun bakal mengalami situasi yang sama dan nampaknya saya terpaksa mencari kerja lain untuk meneruskan hidup.

”Kalau nak ke stesen televisyen lain pun, mereka sudah mempunyai syarikat penerbitan kegemaran masing-masing," tuturnya.
Jurey Latiff, RTM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain