PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Farid Kamil tidak sabar untuk menyambut kedatangan satu Syawal kerana ingin melihat anak lelakinya, Muhammad mencium tangan dan memeluknya di pagi raya. Farid, 31, berkata, sejak bergelar bapa dia memang menantikan saat tersebut kerana ingin merasai perasaan istimewa pada hari mulia itu bersama anaknya. "Tiada apa yang saya inginkan pada Hari Raya nanti selain melihat Muhammad lengkap berbaju Melayu dan mencium tangan saya pada pagi raya. "Ia barangkali satu perasaan yang menarik untuk dirasai oleh seseorang yang bergelar bapa seperti saya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Farid berkata, dalam keterujaan untuk menyambut Syawal dia dan isterinya, pelakon Diana Danielle memilih untuk bersikap sederhana dalam membuat persiapan sambutan Syawal tahun ini. "Seperti mana sebelum ini persiapan dibuat sederhana sahaja dan hanya lebihnya kepada Muhammad sahaja. "Apa-apa pun paling penting pada hari raya nanti dapat berkumpul dengan keluarga dan mengeratkan silaturahim," katanya yang sudah mula bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu. Tambah Farid, tahun ini dia akan berhari raya di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah sebelum kembali ke ibu negara untuk menyambung aktiviti seninya.