PETALING JAYA: Hubungan pelakon Nelydia Senrose dengan kakaknya iaitu aktres Uqasha Senrose semakin akrab semenjak wanita itu mengambil keputusan untuk berhijab beberapa bulan lalu. Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 20, berkata, dia adalah orang paling gembira apabila mendapat tahu penghijrahan Uqasha selain menghormati keputusan tersebut. "Alhamdulillah itu adalah antara satu keberkatan dan hikmah perubahannya itu apabila hubungan kami bertambah akrab dan saya sangat gembira dan bersyukur atas perubahannya itu," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nelydia berkata, Uqasha ada berkongsi cerita mengenai perubahan berkenaan kepadanya namun ia hanya sekadar perkongsian di antara mereka adik-beradik. Jelas Nelydia, kakaknya itu tidak selesa penghijrahannya itu diperbesarkan kerana dia masih dalam proses perubahan ke arah kebaikkan selain bimbang disalahertikan oleh sesetengah pihak. Uqasha kelihatan anggun dengan imej berhijab. "Saya pada mulanya tidak tahu dia sudah memakai tudung dan ketika bertanya mengenai perkara itu dia mengakui tetapi tidak bercakap banyak mengenainya. "Apabila bertemu sendiri dengannya baharulah dia berkongsi cerita dan saya hormat keputusannya itu," kata Nelydia. Sementara itu, Nelydia berkata, berbanding tahun lalu, sambutan Ramadan kali ini baginya adalah lebih tenang kerana dia mengambil cuti daripada terlibat dalam sebarang penggambaran. Kata Nelydia, dia membuat keputusan itu kerana ingin menghabiskan masa lebih dengan ahli keluarganya di kampung. "Tahun lalu sangat sibuk sehingga tiada masa untuk berbuka bersama keluarga. Jadi tahun ini saya mengambil cuti supaya dapat bersama mereka," katanya. Dalam perkembangan lain, Nelydia berkata, dia sangat teruja apabila suaranya dipilih bagi memegang watak sebagai Margo dalam filem Despicable Me 2 versi Bahasa Malaysia. Dia juga berharap peminat akan menyukai penampilannya dalam filem berkenaan dan akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat.