PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael mengakui jadual hariannya semakin padat kerana sibuk menghasilkan lagu-lagu baharu untuk beberapa penyanyi tempatan. Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 28, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa seronok kerana rasa lebih produktif, ditambah pula idea lagu yang dihasilkan lebh mudah hadir di fikirannya. "Selalunya orang kata, nak buat lagu kena tunggu masa-masa tertentu tetapi sebenarnya tidak juga. "Apabila saya sibuk menyiapkan pelbagai lagu, makin mencurah-curah idea itu datang," katanya kepada mStar Online. Sementara itu, sambutan Hari Raya pada tahun ini kata Awi amat bermakna kerana seluruh keluarganya akan berkumpul di Singapura. "Bagi saya, sambutan Aidilfitri merupakan masa yang paling sesuai untuk seluruh keluarga dan orang yang tersayang berkumpul bagi meraih kemenangan berpuasa. "Tahun ini saya akan bercuti selama empat hari sahaja dan masa ini akan saya gunakan untuk berjumpa dengan mereka. Mungkin pada hari ketiga saya akan beraya dengan rakan-rakan pula," ujarnya.