suria

Amy (Search) Restu Hubungan Cinta Nabila Huda

Amy Search bersyukur apabila doanya untuk berbaik semula dengan Nabila termakbul.

PETALING JAYA: Penyanyi rock negara Amy (Search) sudah merestui hubungan cinta anaknya, Nabila Huda dengan kekasih walaupun pernah meluahkan rasa kurang berkenan terhadap lelaki itu.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyifatkan lelaki tersebut (yang enggan didedahkan identiti) seorang yang bertanggungjawab kerana sanggup berdepan dengannya memohon maaf atas kesilapan dahulu, selain turut menjernihkan hubungannya dengan Nabila.

"Sebenarnya saya tidak pernah menyekat mana-mana lelaki yang ingin berkawan dengan Nabila kerana itu pilihannya.

"Walaupun pernah marah dengan kekasih Nabila, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak berdendam.

"Cuma saya bersyukur kerana dia seorang yang bertanggungjawab, berani berdepan dengan saya dan kerana dia juga hubungan saya dan Nabila, Alhamdulillah, kembali jernih," katanya kepada mStar Online.

Foto keluarga yang dimuat naik di Instagram milik Amy (Search).

Terdahulu, hubungan Amy dan Nabila dikatakan renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram dengan nada yang kasar berhubung gambar aktres itu bermesra dengan kekasihnya ketika bercuti di luar negara.

Dalam pada itu, Nabila juga dikatakan sudah lama tidak bertemu bapanya itu dan tidak beraya bersama mahupun di sebelah ibu, sebaliknya pelakon berbakat besar itu mengambil kesempatan bercuti dan beraya di negara jiran, Singapura.

Bagaimanapun, pada sambutan Hari Raya pertama Isnin lalu, Amy telah berkongsi gambar dia sekeluarga di Instagram dengan meletakkan status syukur kerana akhirnya dia dan Nabila sudah berbaik semula.

Sementara itu, kata Amy, walaupun pelbagai dugaan yang dilalui dalam keluarganya, dia yakin setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

"Apa yang telah berlaku sebelum ini menjadi satu pengajaran buat saya mahupun Nabila. Alhamdulillah, moga kebahagiaan ini kekal akhir hayat," tuturnya.

Amy (Search), Nabila Huda

Artikel Berikut

Artikel Lain