PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Awal Ashaari hanya akan mendedahkan wajah dan nama anak perempuan mereka kepada umum selepas isterinya, aktres, Scha Al-Yahya tamat tempoh 44 hari berpantang. Awal menerusi laman sosial Instagram miliknya memaklumkan perkara itu menerus hastag #abispantangbarubolehkenal selepas berkongsi sekeping gambar anaknya yang tidak didedahkan wajah. Rata-rata peminat menyatakan rasa tidak sabar untuk melihat pasangan berkenaan memperkenalkan anak mereka. Salah seorang pengikut Awal yang dikenali sebagai @cik_eyyma berkongsi pendapat dengan mengatakan: "Bayi bawah 40 hari tidak digalakkan untuk gambarnya buat tatapan umum dan ini menurut Al-Quran dan Hadis. Scha dan Awal melihat anak mereka. Manakala @aynissa pula memberitahu:"Anak dia, ada la sebab tidak mahu tunjuk. Sabar, nanti dia akan tunjuk juga". Bagiamanapun ada segelintir peminat yang menganggap Awal tidak sepatutnya merahsiakan identiti anaknya itu dan cukup sekadar tujuh hari dia berbuat demikian. Sebaliknya ada yang menyarankan agar peminat yang tidak sabar untuk melihat anak pasangan tersebut supaya menziarahi ke rumah pelakon itu untuk bertemu sendiri dengan bayi berkenaan. Kata @cnahasina1086: "Kalau rasa hendak tengok sangat bayi Awal dan Scha pergi sahaja melawat ke rumah atau pun tunggu sahaja seleas 40 hari baru buka kembali Instagram mereka. Awal hanya memuat naik gambar anaknya yang hanya memperlihatkan bahagian badan sahaja. "Daripada mengutuk lebih baik doakan kebaikan untuk mereka. Semoga bayi mereka menjadi anak yang solehah". Scha selamat bersalin kira-kira pukul 5.50 petang pada 22 Julai lalu di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur dan bayi perempuan seberat 3.17 kilogram itu dilahirkan secara normal. Awal yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon untuk bercerita lebih lanjut mengenai bayi berkenaan. Scha dan Awal berkahwin pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.