suria

Dunia Artis Jadi Punca Johan As'ari Lupa Diri

Johan (kanan) merakamkan gambar bersama Hisyam Hamid di Krabi, Thailand.
PETALING JAYA:  Pelakon Johan As'ari mendedahkan dunia artis yang diceburinya telah membawa kemudaratan sehingga menyebabkan dia lupa diri dan meninggalkan solat.

Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As'ari, 28, berkata, selepas drama pertamanya berjudul Juvana dan Cinta Elysa mendapat sambutan hangat daripada penonton, dia mula mengabaikan diri terhadap perintah Allah.

"Dahulu saya seorang yang cintakan ilmu dan sanggup menggambara ke Batam dan Jambi, Indonesia berbulan-bulan bagi mendalami pengetahuan Islam. Kemudian saya balik ke Malaysia dan belajar di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUiM) dalam jurusan kaunselor, selepas itu saya mendapat tawaran berlakon.

"Sekelip mata saya terus jadi popular yang saya langsung tidak pernah terfikir. Daripada situ saya sedikit demi sedikit berubah dan seronok dengan populariti yang saya kecapi hingga lupa untuk sembahyang dan berzikir yang dahulunya memang menjadi amalan saya," katanya dalam satu kiriman mesej menerusi apliaksi WhatsApp kepada mStar Online, pada Selasa.

Johan (kanan) dan Hisyam Hamid menjalani penggambaran di Krabi, Thailand.

Johan ketika ini berada di Krabi, Thailand kerana menjalani penggambaran drama bersiri Cintaku Di Krabi bersama pelakon Liyana Jasmay dan Hisyam Hamid.

Dalam pada itu kata Johan, kemewahan dan kehidupan dunia glamor yang diraihnya selama ini membuatkan jiwanya berasa kosong selain hati tidak tenang berbanding sebelum bergelar artis.


Bagaimanapun dia tiba-tiba didatangi perasaan insaf dan sedar terhadap kealpaan itu ketika menjalani penggambaran drama di Krabi yang mana ia itu turut dikongsi dalam Instagram miliknya pada pagi Selasa.

"Ya, pagi tadi (Selasa) saya benar-benar sedar dan menangis meminta keampunan daripada Allah S.W.T. Selama ini Allah banyak kali beri teguran melalui beberapa kejadian yang menimpa saya, namun hati saya sudah mati dan tidak menyedarinya.

"Alhamdulillah ketika bangun pagi tadi tiba-tiba saya rasakan taufik dan hidayah Allah meminta saya bertaubat untuk kembali ke jalanNya semula.

"Saya berniat untuk kembali semula untuk belajar seperti dahulu dan mendalami ilmu agama agar hati saya tidak tersasar," katanya.

Dalam pada itu, Johan berkata, dia tidak berniat untuk mengundurkan diri daripada dunia seni, sebaliknya berusaha untuk mengimbangkan antara kerjaya seninya dan tuntutan akhirat.

Artikel Lain