suria

Masalah Zizan Razak & Bekas Pengurus Masih Gagal Selesai

Zizan Razak.

PETALING JAYA: Bekas pengurus kepada Zizan Razak iaitu Marina Juki memberitahu pihaknya gagal untuk bertemu dengan aktor itu yang sepatutnya berlangsung sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu bagi menyelesaikan kemelut syarikat pengurusan artis kendalian mereka iaitu Wirefame Sdn. Bhd.

Marina bagaimanapun berkata, perjumpaan itu tetap diteruskan dengan hanya dihadiri oleh peguam kedua-dua belah pihak sahaja.

"Saya masih belum dapat bertemu dengan Zizan kerana dia sibuk dengan kerjaya seni tambahan pula waktu itu sudah hampir dengan sambutan Hari Raya.

"Hanya peguam kami yang berbincang tentang beberapa perkara yang menjadi pertikaian pada perjumpaan tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Zizan sebelum ini bertindak membekukan dua akaun milik syarikat tersebut sehingga ia tidak dapat beroperasi termasuk bayaran artis di bawah naungannya tersekat.

Artis-artis Wirefame ialah Johan As’ari, Kaka Azraff dan Chacha Maembong.

Marina akan memaklumkan perkembangan mengenai syarikat pengurusan Wirefame Entertainment selepas ia selesai.

Dalam pada itu, Marina berkata, dia masih belum mengetahui hasil yang diperoleh selepas perjumpaan peguam kedua-dua belah pihak.

Jelas Marina, dia hanya akan memberi kenyataan selepas berjumpa sendiri dengan Zizan untuk menyelesaikan kemelut di antara mereka yang sudah berlarutan hampir enam bulan.

"Saya baharu sahaja masuk ke pejabat hari ini (Selasa) dan belum berpeluang bertemu dengan peguam saya untuk mendengar penjelasan berhubung perjumpaan dengan pihak Zizan.

"Bagaimanapun saya hanya akan memberikan kenyataan selepas dapat berjumpa sendiri dengan Zizan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.

Tambah Marina, mereka masih belum menetapkan tarikh baharu untuk duduk semeja bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana Zizan masih bercuti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain