PETALING JAYA: Penyanyi Fynn Jamal berharap isu kononnya lagu Arjuna Beta yang dihasilkannya itu diciplak daripada lagu Riverside nyanyian Agnes Obel tidak lagi diperkatakan. Fynn atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin, 32, berkata, dia tidak pernah mendengar lagu itu sehinggalah tersebarnya tuduhan berkenaan. "Jujurnya, sebelum timbulnya isu ciplak, saya tidak pernah kenal dengan penyanyi mahupun lagu berkenaan. "Saya bukannya jenis orang yang menyimpan pelbagai koleksi lagu untuk didengar dan dicuri. Sebaliknya lagu-lagu yang didengar adalah daripada radio serta Internet. "Apa yang dihasilkan pada Arjuna Beta itu datang daripada jiwa saya mengenai anak saya, Bakti Arjuna Fitri Abdullah (2 tahun). Biarlah orang tetap nak tuduh tentang perkara itu, saya tetap bertegas bahawa lagu itu adalah hasil karya saya," katanya kepada mStar Online. Tambah anak kedua daripada empat beradik kelahiran Kota Tinggi, Johor ini, dia enggan lagi memanjangkan isu tersebut memandangkan ia tetap akan menjadi bualan segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dengan karya berkenaan. Sementara itu, selepas kejayaan Arjuna Beta, lagu Terbang Tunduk pula kini mendapat perhatian peminat-peminat muzik. Ditanya adakah dia memiliki strategi tersendiri dalam menghasilkan lagu yang mampu memberikan nilai komersial, kata Fynn, karya-karyanya dicipta mengikut naluri hatinya tanpa memikirkan sama ada ia diterima ramai atau tidak. "Ramai yang salah faham, saya bukanlah seorang pemuzik tetapi penulis puisi. Saya hasilkan puisi dahulu dengan iringan beberapa chord lagu. Kemudian rakan baik saya, AG (Coco) akan menyusun semula lagu tersebut sehingga menjadi lebih baik. "Tetapi itulah apabila saya dikatakan tiru karya orang lain, rasa pelik. Macam mana saya nak tiru kalau saya sendiri tidak faham muzik. "Apa-apapun saya bersyukur sangat apabila Arjuna Beta dan Terbang Tunduk digemari ramai. Alhamdulillah," tuturnya. Fynn telah mendirikan rumah tangga dengan sahabatnya, Hazrilfitri Hadzir pada tahun 2008. Selepas empat tahun perkahwinan tanpa anak, mereka membuat keputusan mengambil anak angkat, Bakti Arjuna Fitri Abdullah yang kini berusia 2 tahun. Penyanyi itu juga pernah bertugas sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Lim Kok Wing selama dua tahun dan kemudian meneruskan kerjaya ke Kazakhstan dalam subjek sama di sekolah Nazarbayer Intellectual School.