suria

Ramli Sarip Bikin Konsert Lagi

Ramli Sarip bakal mengadakan konsert Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip, bersempena dengan 45 tahun penglibatannya di dalam industri muzik tempatan. Foto ONG SOON HIN

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Ramli Sarip bakal mengadakan konsert Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober ini di Istana Budaya, di sini.

Ramli, 63, berkata, kejayaan konsert jelajah Blues Buat Teman yang berakhir pada Mei lalu membuatkan dia ingin mengadakan konsert berskala lebih besar bersempena dengan 45 tahun dirinya berkecimpung di dalam dunia seni muzik.

"Konsert ini akan membawa penonton menghayati pengembaraan seni yang saya lalui sepanjang 45 tahun.

"Terlalu banyak perkara yang mahu saya kongsikan kepada peminat-peminat menerusi konsert ini nanti," katanya.

Ramli ditemui pada majlis pelancaran konsert Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip di Hotel Royale Chulan, di sini pada petang Selasa.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia itu, konsert itu akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu Blues Rock, akustik, kerohanian dan muzik berkumpulan.

Ramli turut menjemput beberapa artis popular memeriahkan lagi konsert 'Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip'

"InsyaAllah, persembahan yang dibawakan pastinya berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini.

"Memandangkan terlalu banyak koleksi lagu yang ada, saya bersama pemuzik-pemuzik akan meneliti sebaik-baiknya agar memilih lagu yang terbaik buat penonton.

"Malah para peminat juga boleh memberi cadangan lagu kegemaran mereka menerusi akaun Facebook saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ramli turut mengundang vokalis kumpulan God Bless, Achmad Albar, Aris Ariwatan dan Dayang Nurfaizah selain anggota kumpulan Sweet Charity iaitu Rahman Sarbani, Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar Jawahir.

Sementara itu, konsert tersebut turut akan diadakan di Esplanade, Singapura pada 21 Oktober 2014.

Tiket konsert di IB pada harga RM83 hingga RM443 boleh ditempab menerusi laman web www.iLassotickets.com atau talian 03-79576088. Manakala di Singapura pula dijual pada harga $40 hingga $80 menerusi laman web www.sistic.com.

Ramli Sarip, Konsert

Artikel Lain