suria

Fattah Amin Dikritik Berlakon Macam 'Kayu'

Fattah Amin berjanji untuk berusaha memperbaiki mutu lakonannya. Gambar ihsan: Pinography Official
KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Fattah Amin tidak pernah berkecil hati dengan kritikan umum yang mengatakan lakonan-lakonannya masih lagi kaku.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 24, berkata, dia mengambil kritikan itu sebagai pembina semangat untuknya terus mengasah bakat menjadi pelakon yang lebih baik.

"Saya sedar dengan kritikan orang ramai mengatakan lakonan saya macam 'kayu'.

"Tetapi jujurnya saya tidak pernah berkecil hati kerana saya masih baru dalam industri lakonan dan apa yang dikritik adalah satu teguran agar lakonan saya bertambah baik," katanya yang mula popular menerusi drama Playboy Itu Suami Aku.

Fattah ditemui pada majlis pelancaran telenovela Cinta Ibadah di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Rabu.

Imej kacak Fattah Amin. Foto: Pinography Official


Baru-baru ini Fattah menerima kritikan di laman-laman sosial  yang mengatakan dia tidak layak menjadi pelakon kerana lakonannya kaku selepas kemunculannya menerusi  drama Playboy Itu Suami Aku di TV3  yang mengakhiri siarannya pada Disember tahun lalu mendapat perhatian ramai.

Fattah juga pernah terlibat menerusi drama Cinta Dari Marikh (RTM) dan Kerana Sarah (TV3).

Sementara itu tambah Fattah, selepas mendapat kritikan itu, dia mula mempelajari pelbagai teknik-teknik lakonan menerusi pelbagai filem yang ditonton selain mendapat khidmat nasihat daripada pelakon-pelakon senior dan pengarah.

Mengenai telenovela Cinta Ibadah, Fattah bergandingan dengan pelakon baharu iaitu Aishah Ilias sebagai pasangan suami-isteri.

Katanya, sepanjang dua tahun bergelar pelakon, telenovela ini antara yang mencabar lakonannya kerana ia mengambil tempoh penggambaran yang lama.

"Bayangkan, Cinta Ibadah akan ditayang sebanyak 130 episod dan ia akan dipanjangkan lagi sehingga 300 episod jika mendapat respons yang baik.

"Ini juga peluang untuk saya membuktikan kepada penonton bahawa lakonan saya tidaklah kaku seperti dahulu.

"Mungkin belum pada tahap yang bagus, sekurang-kurangnya saya dapat memperbaiki lakonan saya sedikit demi sedikit," ujarnya.

Antara mereka yang terlibat dalam telenovela Cinta Ibadah.

Selain Fattah dan Aishah, pelakon Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Nor Albaniah, Shahronizam dan Ziema Zin turut membintangi telenovela tersebut.

Ia mengisahkan tentang kehidupan pasangan suami isteri iaitu Siti (Aishah) dan Hafiz (Fattah) yang mula goyah apabila Siti disahkan menghidap penyakit barah. Siti mengambil keputusan untuk merahsiakan penyakit yanh dihidapinya daripada pengetahuan Hafiz.

Cinta Ibadah arahan Ayie Mustafa dan Sridar Jetty bakal disiarkan bermula 8 September depan, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5 petang menerusi saluran Astro Prima (105).
Fattah Amin

Artikel Sebelum

Artikel Lain