suria

Imej Muslimah Tidak Halang Melly Goeslaw Tampil Unik

Imej terkini Melly Goeslaw
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer dari Indonesia, Melly Goeslaw menyifatkan penghijrahannya kepada imej bertudung sebagai seorang muslimah tidak menghalang untuk dia kekal berpenampilan unik seperti sebelum ini.

Melly atau nama sebenarnya Meliana Cessy Goeslaw, 40, berkata, bagaimanapun gaya unik yang ditampilkannya itu akan terarah kepada imej yang lebih muslimah.

"Ramai yang menganggap, saya sudah berubah sejak bertudung. Sehingga kini saya masih sama seperti dahulu, cuma jiwa saya lebih ke arah agama Islam.

"Dan imej eksentrik masih lagi saya kekalkan cuma dengan cara yang lebih sopan," katanya.

Melly ditemui pada majlis pelancaran telenovela Cinta Ibadah di Hotel Western Premier Dua Sentral di sini pada Rabu.

Dia merupakan penyanyi runut bunyi bagi telenovela tersebut yang bakal disiarkan pada setiap Isnin Hingga Jumaat bermula pukul 5 petang bermula 8 September  depan menerusi saluran Astro Prima.

Sementara beritahu Melly, dia bersyukur dengan penghijrahan itu kerana sudah lama dia berniat mahu bertudung.

"Sebenarnya, saya mahu bertudung selepas menunaikan ibadah Umrah pada tiga tahun lalu. Namun ketika itu saya risau bagaimana dengan hala tuju kerjaya saya selain pandangan peminat terhadap diri saya.

"Alhamdulillah, tiga bulan lalu, selepas pulang dari Umrah buat kali kedua, hati saya nekad untuk kekal bertudung dan saya yakin bahawa imej baru ini bukan satu penghalang untuk saya melibatkan diri dalam muzik lagi," ujarnya.

Dalam pada itu kata Melly dia masih lagi berkarya menghasilkan lagu tetapi liriknya tidak akan terlalu berlebih-lebihan terutamanya berkaitan cinta.

"Saya akan tetap mencipta lagu seperti biasa tetapi mengikut kesesuaian dengan diri saya. Tetapi belum menjurus ke arah kerohanian lagi," tuturnya.

Melly Goeslaw

Artikel Sebelum

Artikel Lain