suria

Joe Flizzow Tak Anggap Penyanyi Baharu Tumpang Popularitinya

Joe Flizzow sentiasa menyokong kesungguhan artis-artis baharu untuk bersaing dalam industri muzik tanah air.
PETALING JAYA: Penyanyi rap Joe Flizzow tidak pernah menganggap artis-artis baharu yang berkolaborasi dengannya sebagai cuba untuk menumpang populariti yang dimilikinya.

Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 35, berkata, dia sentiasa memberi peluang dan menyokong penyanyi yang mempunyai usaha keras untuk bersaing dalam industri seni tanah air.

"Saya tidak anggap mereka berkerjasama dengan saya sebagai menumpang populariti, malah saya berbesar hati dapat membantu mereka untuk bersaing dalam industri muzik kita.

"Kebanyakkan artis yang berkolaborasi dengan saya adalah yang benar-benar serius untuk berada dalam industri, contohnya Sleeq, saya lihat mereka penyanyi baru yang gigih biarpun mereka daripada Singapura," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Joe, dia juga melihat peluang berkolaborasi dengan penyanyi baharu sebagai satu perghormatan dan menjadikannya relevan untuk bersaing dengan generasi muda.

Dalam perkembangan lain Joe berkata, dia turut menghantar beberapa buah lagu dalam album Havoc sebagai pencalonan untuk Anugerah Industri Muzik kali ini.

Katanya, ia adalah permintaan daripada beberapa pihak termasuk pengurusannya selepas empat tahun tidak menyertai pencalonan anugerah berprestij tersebut.

"Setelah empat tahun tidak menyertai AIM kerana kurang berpuas hati dengan syarat yang terlalu rumit, tahun ini saya diminta oleh beberapa pihak untuk mencuba nasib.

"Saya harap syarat yang dikenakan tahun ini tidak begitu rumit hingga membataskan kelayakan lagu-lagu yang kami telah hasilkan," ujarnya.

Joe yang baharu sahaja keluar dengan single terbaharunya berjudul Apa Khabar featuring SonaOne turut melancarkan muzik video lagu tersebut.

Muzik video yang menjalani penggambaran di New York itu mengambarkan tentang rasa rindunya terhadap hubungan persahabatan dengan rakan baik dan anggota kumpulan Too Phat iaitu Malique ketika mereka bersama-sama memperjuangkan muzik rap di negara ini.

"Muzik video ini mengisahkan tentang persahabatan saya dan Malique yang mana ramai peminat tidak tahu tentang kami selepas kami membawa haluan masing-masing," ujarnya.
Joe Flizzow, Sleeq, SonaOne, Apa Khabar

Artikel Lain