suria

Aishah Ilias Tidak Takut Kontroversi

Aishah Ilias sedia menerima cabaran dan dugaan sebagai selebriti.

PETALING JAYA: Pelakon Aishah Ilias, mengakui sedia berdepan dengan kontroversi walaupun masih lagi baharu di dalam dunia seni hiburan tempatan.

Aishah berkata, sebagai seorang pelakon, dia harus bersedia menerima risiko itu memandangkan ia sudah menjadi lumrah apabila terlibat dengan mana-mana dunia seni hiburan.

"Jangan salah faham, bersedia untuk berdepan dengan kontroversi bukan bermaksud saya mahu terbabit dengan isu-isu panas. Tidak.

"Sebaliknya, saya hanya mahu bersedia daripada segi fizikal dan mental, jadi jika diri ini terpalit dengan kontroversi, saya tidak mudah melatah. Itu sahaja.

"Lagipun, itulah risiko utama yang perlu difikirkan sebelum melangkah ke dunia seni hiburan," kata gadis berusia 26 tahun itu.

Aishah yang sebelum ini  bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta pernah terbabit dengan beberapa drama bersiri terbitan RTM, selain drama popular di TV3 seperti Mak Nak Madu dan Love You Mr Arrogant serta sebuah filem, Paku Pontianak.

Terbaharu, Aishah kini terbabit dengan penggambaran telenovela baharu siaran Astro Prima, Cinta Ibadah yang bakal ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5 petang bermula 8 September 2014.

Aishah dan Fattah bergandingan menerusi telenovela Cinta Ibadah.

Kata Aishah, telenovela tersebut antara drama yang mencabar baginya apabila menggalas tanggungjawab memainkan dua watak berbeza iaitu sebagai Siti dan Rina, digandingkan dengan aktor Fattah Amin.

"Apabila menggalas dua watak, saya sampaikan bercakap seorang diri, tidak kira di mana saja saya berada bagi menjiwai karakter yang diberi.

"Tidak dinafikan, saya agak tertekan sehinggakan pernah keliru dan tertukar watak ketika penggambaran dijalankan. Mujurlah, atas bantuan pengarah, saya mampu membawa kedua-dua watak dengan baik.

"Setakat ini, sudah 80 episod saya bersama pelakon lain menjayakan telenovela ini. Alhamdulillah, saya semakin serasi dengan dua watak tersebut," ujarnya.

Selain Aishah dan Fattah, pelakon Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Nor Albaniah, Shahronizam dan Ziema Zin turut membintangi telenovela tersebut.

Ia mengisahkan tentang kehidupan pasangan suami isteri iaitu Siti (Aishah) dan Hafiz (Fattah) yang mula goyah apabila Siti disahkan menghidap penyakit barah. Siti mengambil keputusan untuk merahsiakan penyakit yang dihidapinya daripada pengetahuan Hafiz.
Aishah Ilias

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain