suria

Festival Rock Sabtu Ini Ditunda Hormati Hari Berkabung

Pengarah Urusan Langkah Karya Production, Hazmimi Johar (dua dari kiri) memberitahu Festival Empire Rock 2014 hanya akan diteruskan pada 27 September depan.

PETALING JAYA: Penganjuran Festival Empire Rock 2014 yang dijadualkan berlangsung di Matic, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada 23 Ogos (Sabtu) ini ditunda bagi menghormati jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dijangka tiba sehari sebelumnya.

Pengarah Urusan Langkah Karya Production, Hazmimi Johar berkata, penundaan itu sebagai tanda simpati dan sedih terhadap kejadian menimpa mangsa dan ahli keluarga terlibat selain sama-sama ingin berkabung pada hari berkenaan yang diisytiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Pihak seketeriat festival berkenaan sebulat suara bersetuju menangguhkan penganjuran acara itu kerana menghormati Hari Berkabung Negara yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Semua rakyat Malaysia bersedih atas kejadian menimpa pesawat MH17 dan kami sebagai penganjur merasakan tarikh berkenaan adalah tidak sesuai untuk mengadakan sebarang acara hiburan pada hari tersebut," katanya kepada mStar Online.

Penganjuran Festival Empire Rock 2014 bertujuan menghimpunkan kumpulan muzik terbaik dari era 80-an hingga 90-an dalam membangkitkan semula kegemilangan genre tersebut dikalangan peminat terutamanya generasi muda itu bagaimanapun akan diteruskan pada 27 September dilokasi sama.

Antara kumpulan rock yang dijangka akan mengadakan persembahan pada acara itu adalah Samudera, Junction, Sofea, Sejati dan Putera.



Dalam pada itu, Hazmimi berkata, pihaknya juga akan menggabungkan festival berkenaan dengan penganjuran Karnival Pray For Gaza sebagai salah satu inisiatif bagi mengumpulkan dana untuk membantu rakyat Palestin yang dizalimi pihak Zionis.

Menerusi karnival itu juga, pengunjung yang hadir dapat menghulurkan sumbangan selain menyatakan solidariti rakyat Malaysia terhadap pembebasan bumi Palestin daripada penjajahan Israel.

"Ini ada peluang yang cukup baik untuk rakyat Malaysia khususnya peminat muzik rock bersama-sama menyatakan sokongan mereka terhadap Gaza dan atas dasar itu juga kami menukar festival ini menjadi lebih sesuatu yang bermakna.

"Kutipan yang disumbangkan pengunjung itu nanti akan disampaikan kepada pihak Aman Palestin untuk diserahkan kepada masyarakat di Gaza," katanya.

Sementara itu, Hazmimi berkata, Karnival Pray For Gaza akan diadakan pada hari sama bermula pukul 10 pagi manakala Festival Empire Rock 2014 berlangsung pada pukul 4.30 petang.

Antara acara yang bakal diadakan adalah Battle of the Band, sesi karaoke, info terkini mengenai Gaza yang disampaikan oleh Duta Aman Malaysia, peraduan dan sesi artis bersama peminat.

"Kami juga turut mengalu-alukan kedatangan semua aktivis pembebasan Palestin, penggiat kumpulan rock, rakan artis, peminat dan pihak media bagi sama-sama menyatakan sokongan terhadap Gaza dalam pada itu.

Artikel Lain