Kajol, 40, berkata, kunjung pertamanya ke Malaysia benar-benar membuatkan dia berasa teruja dengan sikap mereka itu.
"Sejak saya sampai ke Kuala Lumpur ramai peminat yang menyapa dan melambai tangan ke arah saya. Paling saya hargai mereka peramah dan paling penting penuh sopan santun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh pelakon Lisa Surihani pada majlis pelancaran saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD (saluran 251) di Hotel JW Marriot di sini pada malam Rabu.
Kajol tidak ditemani suaminya iaitu Ajay Devgan.
Dalam pada itu menerusi temubual berkenaan Kajol turut menceritakan filem lakonannya bersama Shah Rukh Khan iaitu Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) pada 1998 adalah memori terbaiknya sepanjang dia bergelar pelakon.
Katanya, filem itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam pada dirinya tetapi juga peminat KKHH yang masih meminati karya tersebut sehingga hari ini.
"Kuch Kuch Hota Hai adalah sebahagian daripada hidup saya dan ia bukan sekadar filem tetapi adalah memori terbaik dalam hidup saya.
"Sehingga ke hari ini perasaan seronok berada di set penggambaran bersama pelakon-pelakon lain dapat dirasai dan saya amat bersyukur ia masih kekal di hati peminat," katanya.
Tambah Kajol, dia tidak dapat membayangkan pelakon wanita lain melakonkan watak Anjali dalam KKHH kerana peranan itu dekat di hatinya.