KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis menolak permohonan isteri penyanyi, Awie iaitu Rozana Misbun, 36, yang dibuat secara lisan bagi menukar hak lawatan terhadap anak-anak yang ditetapkan iaitu di kediaman artis itu di Ukay Bistari, Ampang ke kediaman bapa Rozana di Pantai Hill Park, Bangsar di sini. Mahkamah juga menolak permohonan Rozana agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan terhadap media daripada mengeluarkan sebarang berita yang boleh menimbulkan prejudis terhadapnya dan menganggu perjalanan kes. Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zin membuat keputusan menolak permohonan itu yang dikemukan peguam Rozana iaitu Majdah Muda dengan alasan pihak plaintif gagal mengemukakan permohonan secara teratur mengikut prosedur. "Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan. "Mahkamah tidak mempunyai halangan untuk media membuat laporan selagi ia tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap perjalanan kes," hujahnya. Terdahulu, Rozana telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak jagaan sementara (hadanah) tiga anak mereka yang diperoleh Awie di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, 21 Julai lalu. Rozana yang memfailkan permohonan itu pada 8 Ogos lalu turut memohon untuk membatalkan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie. Perintah injunksi itu diperoleh Awie bagi menghalang isterinya daripada mendekati awie dan juga anak-anak dalam apa jua cara sekalipun, termasuk melalui media cetak dan elektronik yang diperoleh Awie. Rozana hadir ditemani kakaknya, pelakon Haliza Misbun, manakala Awie hanya diwakili peguam iaitu Mohd Hafizal Pacho. Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.| Awie tuurt mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Mahkamah menetapkan 17 September depan bagi Awie mengemukakan hujahan, manakala 18 September untuk keputusan bantahan awal.