PETALING JAYA: Model muaalaf yang kini menggunakan nama Raisyyah Rania bertegas mana-mana pihak termasuklah media yang ingin mengambil kenyataan menerusi status yang ditulis di Facebook miliknya agar tidak memanipulasikan maksud yang disampaikan itu.
Raisyyah atau lebih dikenali sebagai Felixia Yeap, 27, berkata, terdapat media sering memanipulasikan kenyataannya termasuklah sebuah akhbar telah memetik statusnya dengan laporan salah mengenai isu pasangan model berpakaian pengantin separuh bogel di Ipoh, Perak baru-baru ini.
"Saya terkejut sebab berita itu dipaparkan tanpa pengetahuan saya dan tajuk yang diberi itu agak kasar, kedengaran seperti angkuh.
"Walhal, saya tidak pernah berniat untuk marah sesiapa pun. Saya hanya ikhlas menyeru orang ramai untuk berpakaian lebih sopan di tempat awam dan jika perlu berpakaian sedemikian atas sebab kerja (seperti model tersebut) maka ia sepatutnya dilakukan di tempat yang tertutup.
"Diharap setiap kenyataan saya di Facebook tidak lagi dimanipulasikan," katanya kepada mStar Online yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp pada Jumaat.