PETALING JAYA: Suria FM bakal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 kepada pendengar stesen radio itu bermula 1 hingga 26 September ini menerusi peraduan Telinga Power Suria FM. Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, pihaknya kembali mengadakan peraduan tersebut selepas menerima maklum balas positif daripada pendengar yang mahukan ia diperkenalkan kembali selepas kali pertama diadakan pada Mac lalu. “Telinga Power Suria FM ini adalah sambungan daripada apa yang telah kami lakukan pada bulan Mac lalu dan kami berharap lebih ramai pendengar akan menyertai peraduan ini dan teka bunyi dengan betul untuk memenangi wang tunai," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online. Jelas Adiwati, pendengar hanya perlu menjadi pemanggil pertama selepas isyarat ke udara dan dikehendaki meneka klip bunyi yang dimainkan dalam masa 10 saat. Katanya, setiap bunyi yang berjaya diteka melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM500 sebagai ganjaran dan jika gagal jumlah tersebut akan digandakan ke segmen-segmen seterusnya. "Jangan bimbang penyampai yang bertugas akan memberikan pembayang bunyi dari semasa ke semasa untuk memudahkan pendengar menjawab," katanya. Telinga Power Suria FM akan keudara menerusi lima segmen iaitu segmen Ceria Pagi bermula 5 pagi hingga 10 pagi, Santai Ceria (10 pagi - 1 petang), R&R Suria (1 petang - 4 petang), Ceria Petang (4 petang - 8 malam) dan Ceria Suria (8 malam - 10 malam). Pendengar boleh membuat panggilan terus ke studio apabila isyarat ke udara di 03-7724 2115. Layari www.suriafm.com.my untuk maklumat lanjut.