PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat pernah diberhentikan daripada sebuah universiti awam selepas dia membuat membuat keputusan untuk menceburi bidang seni pada dua tahun lalu. Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, perkara tersebut berlaku kerana pihak universiti tidak membenarkannya bercuti bagi menyertai program realiti Akademi Fantasia musim 9 (AF9) yang menganggu komitmennya sebagai seorang pelajar. "Ketika saya dipilih untuk menyertai Akademi Fantasia 9 pada tahun 2011 saya masih belajar di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan muzik tetapi pihak universiti tidak benarkan untuk saya mengambil cuti khas bagi menyertai mana-mana rancangan realiti. "Setelah fikir secara masak-masak saya pilih untuk menyertai AF9 dan dalam masa yang sama pihak universiti terpaksa memberhentikan saya dan ketika itu saya tinggal lagi dua semester sahaja untuk tamat pengajian diploma. Saya memang sedih sangat dan menangis tidak henti ketika itu," ujarnya. Ayda ditemui pada tayangan akhir Drama Rindu Awak 200% yang diadakan di Bucida Court, di sini, malam Isnin. Ayda melayan peminat-peminatnya yang hadir pada majlis tayangan akhir drama Rindu Awak 200%. Bagaimanapun Ayda berkata, dia tidak pernah menyesal dengan tindakan yang diambil itu kerana apa yang dipelajari di universiti tersebut adalah persiapan untuk dia berada dalam industri seni. Malah, katanya, beberapa rakan yang menghabiskan pengajian di universiti dalam bidang tersebut masih lagi mencari-cari pekerjaan dan peluang untuk berada dalam industri. "Saya tidak menyesal dengan keputusan saya itu biarpun nasib saya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah, namun saya terima rezeki dalam industri seni ini sebagai seorang pelakon. "Saya lihat kawan-kawan saya yang habis belajar masih lagi mencari-cari kerja, ada yang menghubungi saya semula untuk mendapatkan peluang," ujarnya. Sementara itu, Ayda turut mengakui selepas dikenali melalui drama Rindu Awak 200% ini, dia lebih menjaga penampilan dan berpakaian sopan untuk menghormati peminat-peminatnya terutama golongan dewasa dan kanak-kanak. "Saya jaga cara pemakaian sebab saya rasa tidak manis untuk berpakaian seksi kerana dalam drama saya mengenakan tudung dan berpakaian sopan. "Lagi pula peminat saya banyak daripada golongan makcik-makcik dan wanita bertudung," ujarnya. Majlis yang dianjurkan oleh kelab peminatnya Ayda Jebat Screamer itu dihadiri lebih 200 peminat bagi menonton drama episod akhir slot Akasia itu. Drama Rindu Awak 200% mula disiarkan pada 15 Julai lalu pada Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.