PETALING JAYA: Sembilan artis popular yang ditampilkan menerusi teater Asrama-Ra All Stars diyakini dapat membantu dalam menarik minat penonton baharu untuk datang menyaksikan pementasan itu pada Oktober depan. Pengarahnya, Khairunazwan Rodzy berkata, bagiamanapun berkata, pemilihan pelakon bukan semata-mata dibuat berdasarkan populariti mereka sebaliknya melihat kepada kredibiliti masing-masing yang pernah berlakon di pentas teater. "Kebanyakan pelakon dipilih pernah bekerjasama dengan Revolution Stage selain mereka mempunyai kelebihan tersendiri dan bukanlah berdasarkan populariti semata-mata. Pengarah Asrama-Ra All Stars, Khairunazwan Rodzy. "Dalam satu sudut yang lain pula ebih mudah bekerjasama dengan mereka kerana saya sudah kenal kebaikkan dan kekurangan mereka jadi ia sedikit sebanyak memudahkan proses latihan. "Populariti yang ada pada artis-artis yang terlibat Insya-Allah dapat membantu dalam menarik peminat teater dan penonton baharu untuk datang pada pementasan itu nanti," katanya kepada mStar Online. Asmara-Ra All Stars yang diterbitkan oleh Revolution Stage bakal menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad, Fynn Jamal, Intan Nor Saina dan Tuan Faisal. Sharifah Amani. Ia bakal dipentaskan di Pentas 1, KLPAC Kuala Lumpur pada 16 hingga 19 Oktober depan pada pukul 8.30 malam. Dalam pada itu, Khairunazwan berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mementaskan teater berkenaan dalam skala besar selepas ia mendapat sambutan baik pada pementasan yang diadakan di Menara MARA pada Oktober tahun lalu. Jelasnya, ketika itu, semua pemain dalam teater berkenaan adalah bakat-bakat baharu daripada First Time Workshop anjuran Revolution Stage dan kali ini mahu menampilkan barisan artis popular. "Pertama kali ia dipentaskan tahun lalu mendapat sambutan hebat namun ia diadakan dalam skala yang kecil selain bersifat lebih indie namun kali ini kami ingin mengetengahkan kisah Asrama-Ra All Stars kepada penonton lebih besar dengan menampilkan nama-nama besar bidang lakonan dan teater. Siti Saleha. "Alhamdulillah pihak Revolution Stage mendapat kerjasama daripada semua pelakon yang kami inginkan untuk sama-sama menjayakan teater ini," katanya. Sementara itu, Khairunazwan berkata, dia mahu mengangkat kisah mengenai kehidupan di asrama sekolah kerana merasakan subjek itu sangat dekat dan mudah diterima oleh penonton. Katanya lagi, Asrama-Ra All Stars adalah sebuah karya ringan dari segi konsep dan penceritaannya namun sarat dengan maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada penonton. "Ia bukan sahaja hiburan tetapi penuh dengan pengajaran disebalik gelak ketawa yang akan disampaikan oleh semua pemain di pentas," katanya. Tiket untuk menyaksikan teater berkenaan dijual pada harga RM40 (tempahan awal) dan RM50. Tempahan dan pembelian boleh menghubungi Nik Chip Afiq di talian 010-7603101.