suria

Chef Wan Sekat 10 Pengikut Instagram Sehari

Chef Wan minta pengikut Instagram hormat Instagram miliknya.

PETALING JAYA: Chef selebriti Datuk Mohd Redzuawan Ismail atau Chef Wan mendedahkan dia telah menyekat 10 pengikut laman sosial Instagram miliknya sehari yang mengambil kesempatan menggunakan platform tersebut sebagai tempat berniaga.

Chef Wan, 56, berkata ia berikutan komen berunsur iklan dan tidak bersesuaian itu telah menganggu privasinya yang mahu berkomunikasi dengan pengikutnya.

"Setiap hari saya terpaksa mengenal pasti dan menyekat peniaga yang menggunakan laman Instagram ini untuk tujuan berniaga. Lebih-lebih lagi akaun yang tidak mendedahkan identiti mereka yang cuba berselindung di sebalik dunia perniagaan masing-masing.

"Saya berbuat demikian memandangkan ia semakin menjadi-jadi dan menyukarkan saya untuk membaca komen-komen pengikut yang benar-benar jujur.

"Mereka (peniaga) sepatutnya menghormati privasi orang lain dan bukannya sesuka hati menyemakkan laman sosial orang lain dengan pelbagai iklan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Ketika ini Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya iaitu @Chefwan58 mempunyai lebih 67,000 pengikut.

mStar Default Image
Teguran yang ditulis Chef Wan di Instagram miliknya.


Terdahulu Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya telah menengur segelintir pengikut laman berkenan yang menjadikan akaun miliknya untuk memuat naik status perniagaan masing-masing.

Perkara itu menyebabkan rasa kurang senang Chef Wan yang terpaksa menyekat pengikut-pengikut berkenaan agar mereka tidak berterusan melakukan perbuatan tersebut.

Sementara itu, Chef Wan berkata, dia terpaksa bersikap jujur dan bercakap secara terus terang agar perkara ini menjadi pengajaran kepada pengikut lain.

"Saya tahu, apabila saya bersuara seperti ini tentu ramai yang tidak suka tetapi ini kebenarannya.

"Sejak akhir-akhir ini saya melihat media sosial lebih banyak memberi impak negatif sedangkan ia boleh menjadi satu perkara positif dalam memberikan inspirasi kepada orang lain.

"Kebanyakannya media sosial menjadikan manusia membuang masa, suka menjaga tepi kain orang, bergosip, buruk sangka dan lebih teruk lagi menyebarkan fitnah sana sini," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Chef Wan, dia tidak akan menyahaktifkan akaun Instagram miliknya hanya kerana perkara itu kerana dia percaya masih lagi ada pihak yang menghargai setiap foto dan status yang dimuat naik di laman sosial berkenaan.

Chef Wan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain