suria

Farish Aziz Terfikir Mahu Menetap Di Kuala Lumpur

Farish memberitahu hampir setiap minggu dia akan datang ke Kuala Lumpur untuk penggambaran drama atau pun program hiburan.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM Sabah iaitu Farish Aziz pernah terfikir untuk kembali menetap di Kuala Lumpur selepas mengambil keputusan tinggal di Kota Kinabalu, Sabah sejak beberapa tahun lalu.

Farish, 30, berkata, selain penat berulang-alik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur hampir setiap minggu, perasaan itu turut timbul kerana dia banyak menerima tawaran lakonan dan pengacaraan yang kebanyakannya memerlukan dia berada di ibu negara.

"Saya pernah terfikir untuk kembali menetap di Kuala Lumpur dan kadang-kadang ia menjadi seperti satu godaan kerana tawaran yang saya terima cukup banyak.

"Akan tetapi saya lebih selesa berulang-alik biarpun penat kerana ini adalah satu bentuk pengorbanan yang saya lakukan untuk isteri dan anak," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Farish berkata, biarpun penat namun dia tidak pernah merungut kerana itu adalah pilihannya dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah.

Jelas Farish, jadualnya yang fleksibel juga memudahkan dia merancang aktiviti tanpa menggangu masa bersama keluarga.

Isteri saya mempunyai jadual kerja yang tetap dan saya pula fleksibel jadi saya tidak boleh mementingkan diri dan perlu berkorban untuk keluarga saya.

"Paling penting jadual perlu disusun dengan teratur dan teliti supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari," jelasnya.

"Tambah Farish lagi, dia juga beruntung kerana mendapat seorang isteri yang cukup memahami dan sentiasa menyokong kerjayanya sebagai anak seni.

"Saya juga bersuyukur kerana pihak produksi di Kuala Lumpur tidak pernah lupakan saya dan tetap menawarkan projek biarpun tahu saya tinggal di Sabah. Isteri pula cukup memahami dan sentiasa menyokong," katanya.

Sementara itu, Farish berkata, dia mahu menetap di Kota Kinabalu kerana mempunyai misi untuk membangunkan industri hiburan di negeri bawah bayu itu yang dilihat berpotensi untuk maju.

Katanya, sebagai permulaan dia juga sedang berjinak-jinak dalam menerbitkan beberapa program secara kecil-kecilan mengenai Sabah dan sedang mengintai peluang lain untuk beberapa projek akan datang.

"Alhamdulillah dengan pengalaman selama beberapa tahun di Kuala Lumpur saya kutip dan ingin memberi kembali kepada negeri saya yang saya lihat mempunyai potensi besar untuk memajukan industri hiburan.

"Sebab itu saya mahu terus berada di Sabah kerana banyak perkara yang ingin saya lakukan di sini pada masa hadapan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Farish berkata, selain sibuk mengendalikan segmen Ceria Pagi Sabah, dia kini sedang menjalani rakaman program Tu Dia sebanyak 200 episod untuk siaran HyppTV bersama Zoey Rahman dan Aliff Satar.

Farish Aziz, Suria FM Sabah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain