KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi menegaskan dia tidak pernah memancing ahli-ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahupun berkempen dalam diam bagi mendapatkan jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-14 persatuan itu. Majlis berlangsung di dataran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu. Zed berkata, dia tidak perlu memancing undi bagi merebut jawatan itu tetapi yakin pemilihannya bagi menerajui kepimpinan itu berdasarkan usahanya sebelum ini yang banyak menaikkan nama Seniman. "Saya tak berkempen pun. Apatah lagi berkempen dalam diam. Tetapi ahli-ahli persatuan boleh lihat usaha saya sebelum ini macam mana. "Bagi saya jawatan itu tidak penting sebaliknya pergerakan persatuan perlu berjalan dengan betul bagi membantu ahli-ahli Seniman lain," katanya. Pada AGM Seniman ke-14 itu, Zed berjaya meraih sebanyak 109 undian mengalahkan pesaingnya, Datuk Mustapha Maarof yang hanya meraih 71 undi dan Afdlin Shauki (66 undian). Timbalan presiden pula disandang oleh Zack (Kool) dan Zahrin Ishak dipilih sebagai Setiausaha Kehormat. Penolong Setiausaha pula disandang oleh Rena Tan manakala Vanidah Imran sebagai Bendahari. Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Seniman pula disandang oleh Sofea Jane, Jamaludin Mat, Khir Rahman, Sharifah Amani, Lisa Surihani, Arash Mohamad dan Rashidi Ishak. Pelakon Dira Abu Zahar dan Adlin Aman Ramli menyandang jawatan sebagai juruaudit. Terdahulu Zed pernah memegang jawatan presiden Seniman bagi AGM ke-14 hampir sepenggal sebelum ia dibatalkan atas perintah mahkamah pada 21 November tahun lalu dan jawatan itu tidak sah. Sementara itu, Zed berkata, dia bersyukur apabila melihat pembabitan artis-artis popular pada AGM kali ini yang memperlihatkan golongan berkenaan mahu melihat kebangkitan semula Seniman. "Saya rasa inilah kali pertama melihat AGM Seniman disertai oleh artis-artis popular, bukannya veteran sahaja. "Tambahan pula barisan AJK (Ahli Jawatan Kuasa) juga dilihat daripada kalangan artis yang pelbagai. "Saya harap agar persatuan ini dapat menjadi kukuh dalam membangunkan industri. Bukan hanya mahu membantu artis-artis veteran yang susah tetapi juga artis baharu yang saya percaya turut mempunyai masalah-masalah tersendiri berhubung industri kita," ujarnya.