suria

Kenaikan Harga Minyak 'Bakar' Semangat Fizo Omar

Fizo Omar

PETALING JAYA:Pelakon Fizo Omar menjelaskan, beliau berpandangan positif terhadap isu kenaikan harga minyak kerana menyifatkan berita itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berusaha bagi menambah pendapatan.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29 turut mengakui, tiada niatnya untuk menyokong mana-mana pihak atas kepentingan tertentu.

Malahan, katanya, pandangan itu untuk menaikkan semangat bukan sahaja dirinya, tetapi juga pembaca untuk terus berusaha meningkatkan taraf hidup.

"Kenaikan harga minyak bukan berita baik tetapi saya terpaksa berpandangan positif untuk menaikkan semangat saya sendiri, namun ia bukan bermakna saya menyokong mana-mana pihak.

"Sebagai rakyat yang turut terjejas, seharusnya kita mencari jalan bagi meningkatkan usaha dalam menambah pendapatan kerana kita tetap perlu harungi kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat," ujarnya ketika menghubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Fizo berkata demikian bagi mengulas pandangan pengikut-pengikutnya di Instagram yang tidak berpuas hati terhadap statusnya sebelum ini yang menyokong isu kenaikan harga minyak.

Rata-rata pengikutnya menganggap kenyataan pelakon itu sebagai mementingkan diri sendiri kerana tidak melihat kesan isu tersebut kepada golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Fizo berkata, sebagai golongan yang berpendapatan sederhana yang turut menjalankan perniagaan, dia juga turut terjejas dengan kenaikan tersebut.

"Sebagai orang yang berniaga saya lebih terjejas kerana terpaksa fikir tentang produk, pekerja dan berbagai perkara yang terpaksa meningkat kesan kenaikan ini.

"Namun jika saya berfikiran negetif dan mengeluarkan status yang bukan-bukan ianya tidak akan mengubah keputusan terhadap kenaikan minyak ini. Pada saya lebih baik kita fokus dan fikir bagaimana untuk menambah pendapatan," ujarnya.

Fizo Omar

Artikel Lain