suria

Beza 7 Tahun Tidak Halang Cinta Sherry Ibrahim & Fattah Amin

Sherry dan Fattah semakin mesra dan kita doakan sahaja kebahagiaan mereka.

KUALA LUMPUR: Pelakon Sherry Ibrahim tidak melihat jarak usia sebanyak tujuh tahun dengan teman lelakinya, aktor Abdul Fattah Amin, 24, sebagai satu halangan untuk kedua-duanya meneruskan hubungan.

Sherry, 31, berkata, kematangan Fattah membuatkan dia serasi dengan pemuda itu namun mengakui percintaan mereka masih di peringkat awal.

"Soal hati dan perasaan bukan boleh diukur dengan usia malah saya sendiri tidak pernah menjangkakan akan mengenali lelaki yang jauh lebih muda.

"Saya selesa berkawan dengan Fattah kerana dia seorang yang matang membuatkan hati saya terbuka untuk menerimanya," katanya kepada mStar Online.

Sherry ditemui pada majlis Kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' di Kelab DiRaja Selangor Bukit Kiara di sini pada Khamis.

Dua lagi selebriti yang turut terlibat pada kempen yang dirasmikan oleh Pengurus Besar Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan itu adalah Anzalna Nasir dan Doris Hor.

Pada majlis berkenaan seramai 1,000 peserta menyertai program itu dengan melepaskan belon ke udara tanda sokongan kempen berkenaan.

Pasangan ini tidak berahsia mengenai hubungan mereka dan sering berkongsi foto-foto mereka di Instagram.


Dalam pada itu, Sherry berkata, dia mengenali Fattah sejak Jun lalu ketika bersama-sama menjayakan drama bersiri Cinta Ibadah.

Bagaimanapun kata Sherry, sepanjang berada di lokasi mereka tidak pernah bertegur sapa dan hanya mula rapat pada penghujung penggambaran.

"Ini bukan cinta lokasi kerana kami tidak pernah bertegur sapa kecuali ketika latihan dan apabila ada adegan bersama.

"Namun kami saling berkenalan ketika penggambaran hampir selesai dan ia semakin rapat sejak itu," katanya.

Tambah Sherry lagi, biarpun dia berterus terang tentang hubungan mereka namun dia enggan mengulas lanjut mengenai hubungan itu kerana ia masih baharu.

"Sekiranya ada jodoh saya terima tetapi sebagai pihak wanita saya tidak boleh bercakap lanjut mengenai perkara itu memandangkan hubungan kami juga masih baru," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, dia akan terus terlibat dalam beberapa siri kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' yang akan menjelajah ke beberapa buah negeri dengan pelbagai program menarik.

"Saya berbesar hati dapat menyertai kempen ini yang membawa mesej kesedaran tentang keyakinan dalam diri wanita.

"Pelbagai program telah diatur dan saya cukup teruja untuk bersama-sama menjayakan kempen ini," katanya.

Sementara itu, Sherry berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Keluarga Karaoke sebanyak 60 episod untuk siaran Astro Mustika HD.

Drama itu turut dijayakan oleh Raja Ema, Elyana, Elfaeza Ul-Haq dan Dazrin Kamarudin.
Sherry Ibrahim, Abdul Fattah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain