suria

Izreen Azminda Perjelas Bekas Suami Ke Mahkamah Selesai Kes Hak Jagaan Anak

Izreen tidak menghalang bekas suami berjumpa dengan anak mereka, Umar.

PETALING JAYA: Pelakon Izreen Azminda menjelaskan bekas suaminya, Muhammad Riza Baharuddin yang dilihat berada di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 30 September lalu adalah bagi menghadiri kes tuntutan hak penjagaan anak mereka iaitu Muhammad Umar Adrian yang berusia setahun tiga bulan.

Izreen, 29, berkata, dia turut hadir pada hari tersebut bagi menyelesaikan kes berkenaan selain menuntut nafkah edah sebanyak RM500 setiap bulan serta anak iaitu RM800 (sebulan).

"Saya tidak tahu jika dia ke mahkamah tersebut pada tarikh lain, tetapi jika ada wartawan melihatnya pada 30 September lalu, memang dia ada di sana bagi kes tuntutan anak. Saya juga berada di situ.

"Dan Alhamdulillah, mahkamah memutuskan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada saya," katanya yang dihubungi mStar Online.

Pada Ahad lalu, akhbar mingguan menerusi ruangan pojok melaporkan Riza, 31, telah dilihat beberapa wartawan seperti mengambil borang di kaunter mahkamah syariah tersebut.

Izreen dan Riza telah bercerai pada 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, Riza terus menghilangkan diri selepas menyedari sekumpulan wartawan sedang memerhatikannya.

Perkara tersebut telah menimbulkan persoalan apakah sebab bekas suami Izreen itu berada di situ.

Sementara itu, Izreen berkata, walaupun tidak menghalang Riza untuk berjumpa dengan Umar, dia sedikit tegas mengenai hal tersebut di mana Umar tidak dibenarkan bermalam dengan bekas suaminya itu.

"Buat masa ini, jika dia ingin berjumpa dengan Umar, ia perlu dibawah pengawasan saya sendiri atau dengan wakil saya yang boleh dipercayai.

"Bukannya apa, Riza pun sibuk dengan pelbagai kerja-kerja penggambaran, takut jika dia tiada masa untuk menjaga Umar. Mungkin selepas beberapa tahun kemudian saya akan membenarkan dia bermalam dengan Umar," ujarnya.

Izreen dan Riza telah bercerai pada 9 Jun 2014 selepas mendirikan rumah tangga kira-kira hampir dua tahun.Pasangan itu telah berkahwin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan