PETALING JAYA: Pelakon Fauzi Nawawi terkilan dengan khabar angin mengenai hubungan mesranya dengan aktres Miera Leyana sehingga ia menggores perasaan isterinya, Lisdawati, 36. Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, memberitahu dia tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan mesra dengan Miera apatah lagi pelakon itu jauh lebih muda daripadanya. "Beza umur kami 20 tahun dan saya percaya dia mempunyai lebih ramai pilihan selain saya. Gosip ini sememangnya mengarut. Ia telah membuatkan perasaan isteri saya terluka. "Sebelum ini saya pernah bercakap; 'Bertuah sangat kalau Leyana tu nak bagi pegang tangan' pada sebuah majlis dan ia mungkin telah disalahertikan. Malangnya timbul cerita lain pula konon saya dilihat berpimpinan tangan dengan Miera seperti pasangan kekasih," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Fauzi diminta mengulas laporan sebuah akhbar mingguan pada Ahad menerusi ruangan pojok yang melaporkan Fauzi dan Miera sedang bermain cinta dalam diam meskipun aktor itu sudah mempunyai isteri dan tujuh orang anak. Miera Leyana Fauzi dan Miera dilihat berpegangan tangan seperti pasangan kekasih ketika keluar sebuah majlis. Sementara itu, Fauzi berkata, meskipun dia sudah lali dengan gosip seperti itu, namun dia bersimpati terhadap Miera memandangkan aktres itu baru saja ingin membina nama dalam industri hiburan tempatan apatah lagi Miera turut berdepan dengan konroversi berbikini menerusi filem Dendam Orang Mati. "Macam saya... sudah 'kebal' dengan gosip seperti ini. Datanglah macam mana sekalipun kontroversi itu, Insya-Allah saya boleh terimanya dan keluarga saya utamakan dahulu. "Tetapi kasihanlah pada dia (Miera). Baru nak cipta nama, gosip dah macam-macam. Bagaimanapun saya harap gosip ini tidak akan menjejaskan filem lakonan saya, Kelibat yang bakal ditayangkan 6 November ini," ujarnya. Fauzi mempunyai empat orang cahaya mata iaitu Hainal Fatiha, 18, Fariz Hazwan, 17, Hana Farisha, 15, dan Fikri Hakimi, 12, hasil perkahwinannya terdahulu. Manakala hasil perkahwinannya dengan Lisdawati, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nor Aini Farhana, 5, dan Nor Aina Fazneesya, 4 dan Ahmad Nur Fyrdaus yang berusia empat bulan.