KUALA LUMPUR: Laporan mengenai kegagalan penyanyi yang terkenal dengan vokal lima octav, Mariah Carey menyanyi dengan baik ketika mengadakan konsert jelajah The Elusive Chanteuse di Tokyo, Jepun pada 4 Oktober lalu membimbangkan peminat. Kritikan pedas terhadap penyanyi berusia 44 tahun itu cukup pedas apabila rakaman video Mariah gagal mencapai nada tinggi pada konsert tersebut tersebar luas dan ramai mula percaya karier sepanjang 25 tahunnya sudah pun berkahir. Malah ada yang merasakan Mariah patut mula berfikir untuk bersara daripada industri muzik bagi mengelakkan dia mendapat malu pada masa akan datang. Mariah tampil bertenaga ketika persembahan pembukaan menerusi lagu Fantasy (Remix). Bagaimanapun, apa yang terjadi di Tokyo bukanlah penamat kepada karier artis paling berjaya dalam sejarah industri muzik Amerika Syarikat itu apabila beliau tampil dengan persembahan bertenaga di hadapan 12,000 penonton yang membanjiri Stadium Merdeka di sini pada malam Rabu. Cuaca hujan sepanjang konsert langsung tidak membuatkan peminat berganjak untuk menyaksikan persembahan diva terkenal itu bagi mendengar sendiri sama ada Mariah masih mampu menyanyi atau pun tidak. Memilih lagu Fantasy versi Remix daripada album Daydream yang dikeluarkan pada tahun 1995, persembahan pembukaan itu cukup bertenaga dan mendapat sorakan gemuruh daripada peminat. Tidak lama membiarkan peminat menunggu, Mariah yang tampil dengan gaun pendek berwarna hitam meneruskan persembahan dengan Touch My Body diikuti Shake It Off sebelum memilih untuk mendendangkan Emotions yang cukup mencabar vokal penyanyi itu. Penuh emosi...Mariah ketika menyampaikan lagu Hero khas buat peminatnya di Kuala Lumpur. Mariah berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan baik malah berjaya mencapai semua nota tinggi yang cukup sinonim dengan penyanyi itu. Menariknya mengenai Mariah, beliau menyapa peminat di Kuala Lumpur dalam sebuah lagu dinyanyikan secara spontan yang diantara liriknya menyebut dia berterima kasih kepada semua peminat yang hadir biarpun dalam keadaan hujan lebat. "Saya hargai sokongan anda semua, Kuala Lumpur," katanya. Beralih pada segmen seterusnya, Mariah bersama pemain piano yang juga komposer terkenal, James 'Big Jim' Wright tampil menyampaikan lagu seperti Cry, Fly Like A Bird dan Lullaby of Birdland. Penyanyi latar Mariah iaitu Trey Lorenz berduet dengan Mariah menerusi lagu I'll Be There. Stadium Merdeka bertukar gamat apabila Mariah menyampaikan lagu My All yang cukup popular dikalangan peminat penyanyi itu sebelum meneruskan persembahan dengan lagu rancak seperti Heartbreaker, #Beautiful dan That Chick. Secara keseluruhannya, vokal Mariah pada malam itu berada dalam keadaan baik dan sekaligus mematahkan semua cakap-cakap bahawa dia tidak lagi boleh menyanyi dengan baik. Bagaimanapun sedikit mengecewakan apabila pemilihan lagu Mariah pada malam itu tidak seperti diharapkan apabila beliau tidak menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Without You, I Still Believe, Love Takes Time, Through The Rain, Dreamlover dan Vision of Love. Dalam pada itu, Mariah turut menjemput penyanyi latarnya, Trey Lorenz untuk mendendangkan lagu nyanyian asal The Jakson Five iaitu I'll Be There dan persembahan itu cukup meninggalkan nostalgia dan peminat turut sama menyanyikan lagu tersebut. Konsert tersebut dihadiri oleh 12,000 penonton. Antara lagu lain yang disampaikan Mariah adalah Honey, Thirsty, Meteorite dan Supernatural. Sementara itu, emosi penyanyi yang baharu sahaja berpisah dengan suaminya, Nick Cannon menerusi Hero cukup menusuk kalbu dan Mariah mendedikasikan lagu ciptaannya itu kepada semua peminat yang hadir pada malam itu. "Ramai yang memberitahu kepada saya Hero banyak membantu mereka mengharungi masa sukar dan saya mendedikasikan lagu ini untuk anda," katanya. Kemuncak konsert tersebut sudah tentu apabila Mariah mendendangkan lagu We Belong Together yang mencatat sejarah dalam karier seni penyanyi itu apabila ia menduduki tempat pertama carta Billboard selama 16 minggu. Biarpun dikritik hebat Mariah membuktikan beliau masih mampu menyanyi secara 'live' dan peminat di Malaysia menjadi saksi perkara itu. Peminat berlari ke barisan hadapan pentas semasa penyanyi itu menyampaikan lagu tersebut dan sama-sama menyanyikan lagu tersebut sebelum Mariah mengakhiri konsert tersebut dengan Always Be My Baby dan Butterfly. Barangkali Mariah bukan lagi seorang penyanyi hebat seperti mana zaman kegemilangannya dahulu, namun beliau membuktikan kredibiliti dan kesungguhannya terhadap muzik masih tidak berubah. Mariah bakal meneruskan konsert jelajah tersebut ke beberapa buah negara Asia Tenggara lain seperti Singapura, Filipina, Taiwan dan Thailand sebelum ke Australia dan New Zealand. Konsert berkenaan dibawa khas oleh IME Productions dengan sokongan Malaysia Major Events iaitu sebuah agensi dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.