PETALING JAYA: Penyanyi Haiza menganggap pencalonan lagu nyanyiannya berjudul Kerana di Anugerah Industri Muzik ke 21 (AIM 21) adalah bukti muzik dangdut masih relevan dan mampu bersaing dengan genre lain. Haiza, 34, berkata, walaupun lagu berkenaan dicalonkan dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik namun ia sangat bererti kepada kariernya kerana pertama kali tercalon dalam anugerah berprestrij itu. "Pencalonan tersebut sangat bererti dalam karier saya kerana sepanjang 20 tahun memperjuangkan muzik dangdut ini adalah kali pertama saya tercalon dan saya sangat gembira. "Biarpun bukan kategori khusus untuk dangdut namun penilaian yang dibuat terhadap lagu tersebut bukti genre dangdut masih relevan," katanya kepada mStar Online. Kerana dicipta oleh Damian Mikhail manakala liriknya pula ditulis oleh Shah Shamsiri dan Filsuf. Haiza bersama penulis lirik dan komposer lagu Kerana Shah Shamsiri(kiri) dan dan Damian Mikhail. Haiza turut bersaing dengan empat lagi buah lagu dalam kategori sama iaitu Apa Khabar (Joe Flizzow/SonaOne), Havoc (Joe Flizzow/SonaOne/Altimet), Hello (Altimet/The Trisno Trio) dan Tepi Sikit (Sleeq/Joe Flizzow). Dalam pada itu, Haiza berkata, dengan pencalonan tersebut ia telah membangkitkan semangatnya untuk terus berkarya dalam menghasilkan single terbaharu dan mengekalkan muzik dangdut. Bagaimanapun kata Haiza, dia terbuka untuk melakukan eksperimen dalam muzik tersebut agar bersesuaian dengan kehendak dan selera pendengar yang sentiasa mahukan pembaharuan. "Seperti Kerana ia sebenarnya adalah sebuah karya eksperimen dan ternyata ia menjadi dan dapat diterima ramai namun elemen dangdut yang sudah sebati dengan diri saya masih akan dikekalkan pada single terbaharu nanti," katanya. Sementara itu, Haiza berkata, selain sibuk dengan undangan nyanyian dia kini semakin rancak menguruskan perniagaan produk jus kesihatannya ke seluruh negara. "Alhamdulillah perniagaan semakin berkembang dan ejen di seluruh negara pun semakin ramai biarpun produk berkenaan tidak mempunyai promosi besar-besaran," katanya.