suria

Perancangan Kahwin Masih Kabur - Adira

Adira meletakkan soal jodoh dengan Shahrul kepada Allah.

PETALING JAYA: Penyanyi Adira menjelaskan dia dan teman lelakinya, Shahrul Nasrun Kamarudin masih belum berbincang atau menetapkan sebarang tarikh perkahwinan mereka seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 23, berkata, perancangan untuk berkahwin dengan lelaki tersebut masih lagi kabur dan meletakkan soal itu kepada jodoh.

"Buat masa sekarang perancangan untuk berkahwin itu masih kabur namun sekiranya kami sudah menetapkan tarikh Insya Allah saya akan beritahu kepada semua," katanya kepada mStar Online.

Tambah Adira, dia kesal apabila ada sesetengah pihak menganggap keputusannya menutup aurat semata-mata mahu berkahwin dengan Shahrul dan berharap tohmahan tersebut dapat dihentikan.

Adira semakin selesa dengan imej terbaharu.

"Pendapat itu tidak benar sama sekali kerana apa yang saya lakukan ini bukan kerana orang lain tetapi untuk kebaikkan diri sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Adira mengakui mengelak daripada membaca bahan gosip di akhbar dan internet termasuk perkara negatif diperkatakan tentang hubungannya dengan Shahrul kerana enggan terlalu memikirkan kata-kata orang lain.

"Sejak dulu saya memang mengelak daripada baca ruangan gosip sama ada dalam akhbar atau pun internet kerana tidak mahu sakitkan hati sendiri.

"Pada saya lebih baik saya tidak tahu daripada mengetahui sesuatu yang tidak benar yang akhirnya akan memberi kesan buruk kepada diri," ujarnya.

Sementara itu, Adira berkata, dia bersyukur kerana dapat merasai nikmat menutup aurat apabila rezekinya dalam bidang nyanyian semakin murah dengan pelbagai undangan dan projek.

Adira dan Shahrul masih belum berbincang secara serius mengenai perancangan untuk berkahwin.

Katanya lagi, sejak berhijab dia tidak pernah mengalami masalah dengan mana-mana promoter yang ingin menggunakan khidmatnya dan rata-rata menyokong perubahannya itu.

"Alhamdulillah tiada sebarang masalah malah rezeki semakin bertambah-tambah. Itulah orang kata jika kita buat sesuatu yang baik pasti akan dibalas dengan perkara sama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adira berkata, dia bersyukur apabila tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Hilang pada Anugerah Industri Muzik ke 21 (AIM21) yang akan diadakan pada 6 November depan.

Kata Adira, pencalonan itu amat bererti buat kariernya namun tidak mengharapkan sebarang kemenangan memandangkan empat calon lain turut mempunyai kehebatan tersendiri.

"Sudah dicalonkan pun saya bersyukur kerana bukan mudah untuk menjadi antara lima terbaik dalam kategori berkenaan," ujarnya.

Adira, Shahrul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan