suria

Yana Samsudin Tidak Mahu Sekat Rezeki Peniaga Bazar

Yana Samsudin tidak mahu kehadirannya di gerai menjejaskan peniaga lain.

PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin hanya akan meluangkan masa selama beberapa jam di karnival atau bazar yang melibatkannya bagi memberi peluang kepada peniaga lain menjual produk mereka.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 30,  berkata, dia tidak mahu kehadirannya di karnival membeli belah tersebut akan menyekat rezeki peniaga yang turut membuka gerai di situ.

"Saya sering sertai bazar dan karnival peniaga bagi menjual beberapa produk termasuk kek dan halwa tradisional yang saya buat sendiri.

"Kebiasaannya, saya hanya datang sekejap sahaja bukan kerana tiada masa, tetapi saya tidak mahu kehadiran saya sebagai artis akan membuatkan pengunjung tertumpu pada perniagaan saya sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Yana nasihat artis lebih hati-hati sertai karnival atau bazar yang dianjurkan.

Tambah Yana, perkara tersebut dianggap sebagai tidak adil kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan duit untuk menyewa tapak di karnival itu.

Katanya, dia memahami situasi tersebut kerana pernah melalui pengalaman sewaktu kecil apabila melihat gerai keluarganya tidak mendapat sambutan.

"Jika saya datang pasti pengunjung akan bertumpu ke gerai saya sahaja dan itu tidak adil kepada peniaga lain yang mengeluarkan duit untuk menyewa tapak tersebut.

"Saya teringat dahulu ketika keluarga saya berniaga tidak ada orang datang kerana orang hanya pergi di gerai yang popular sahaja, saya faham perasaan mereka," ujarnya.

Jelas Yana, penglibatannya di mana-mana karnival perniagaan adalah untuk tujuan menyokong usaha tersebut dan membantu daripada segi promosi.

Katanya, sebagai artis ia juga merupakan tanggungjawab sosial bagi mempromosikan dan menarik pengunjung datang ke karnival tersebut.

Dalam pada itu, Yana turut menasihatkan agar artis lebih berhati-hati dalam menyertai beberapa karnival yang dianjurkan beberapa pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, dia menyedari terdapat beberapa penganjur menggunakan artis dan peniaga untuk memberi keuntungan kepada mereka semata-mata.

Tambahnya, ada juga pihak sanggup menggunakan nama kebajikan untuk mengutip dana bagi menarik perhatian pengunjung dan peniaga.

"Sebagai artis kita kena selidik juga tawaran yang mereka beri, memang selalunya mereka beri ruang berniaga secara percuma kepada semua artis agar kita dapat mempromosikan acara tersebut.

"Tetapi yang saya kesalkan apabila tempat yang disediakan untuk berniaga tidak bersesuaian, tiada pengunjung dan ada yang terlalu sempit," ujarnya.
Yana Samsudin.

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan