suria

Siti Nurhaliza Kesal Peniaga Produk Guna Gambarnya

Datuk Siti Nurhaliza

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menasihati penjual produk kecantikan di negara ini agar tidak menipu pelanggan dengan menggunakan gambar wajah-wajah artis untuk melariskan perniagaan mereka.

Siti, 35, yang turut dieksploitasi apabila wajahnya digunakan bagi tujuan berkenaan berkata, ia adalah tidak wajar kerana langkah itu pasti akan memberi kesan langsung kepada orang ramai.

"Saya memang agak terkilan apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan nama dan gambar saya untuk tujuan-tujuan tertentu dalam melariskan barangan yang dijual.

"Jika tujuan mereka menggunakan artis supaya orang percaya dengan keberkesanan produk berkenaan tetapi adalah tidak adil jika memaparkan gambar artis yang tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang mereka jual. Bila peminat atau pengguna percaya, mereka akan membelinya," kata Siti yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.



Antara iklan produk menggunakan wajah Siti Nurhaliza yang dipaparkan di laman internet.

Siti berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pengusaha produk kecantikan yang telah memaparkan gambar wajah beliau bagi tujuan promosi di laman sosial Facebook kononnya produk berkenaan terbukti berkesan selepas beliau menggunakannya.

Sementara itu Siti berkata, ini bukan kali pertama gambar wajahnya digunakan tanpa kebenaran, malah banyak produk lain yang turut mempromosikan barangan mereka dengan cara meletakkan beberapa tulisan berbentuk testimoni menceritakan kebaikan produk tersebut.

Keadaan itu turut merisaukan Siti kerana namanya sebagai seorang artis turut terjejas sekiranya produk itu mendatangkan risiko kepada pengguna.

"Sikap saya berdiam diri membuatkan mereka cuba untuk mengambil kesempatan. Saya harap mereka dapat memadam gambar saya yang tidak berkenaan dengan segera. Jika kita jujur sebagai peniaga dan barangan kita bagus, pelanggan tetap membelinya walaupun tidak melibatkan nama artis.

"Saya pun mempunyai produk iaitu SimplySiti dan tentunya saya juga menjaga kepentingan produk saya. Saya tidak pernah mahu menyekat orang mencari rezeki tetapi gunalah cara yang betul dan tidak menipu dengan mengiklankan artis tanpa kebenaran," ujarnya.
Datuk Siti Nurhaliza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain