PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim memberitahu restu dan doa ibunya merupakan punca utama dia terus bertahan dan berada pada tahap selesa dalam industri seni tanah air. Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 33, berkata, dia pernah berputus asa sehingga mengambil keputusan untuk balik kampung bagi mencari pekerjaan lain yang lebih menjamin masa depan. "Saya pernah rasa putus asa dan pulang ke kampung di Kelantan untuk bina hidup baru dan cari pekerjaan yang ada di kampung. "Ketika di kampung, ibu memanggil saya dan bertanya tentang masalah yang saya hadapi. Saya ingat lagi, dia genggam tangan saya dengan kuat dan memberitahu yang dia merestui perkerjaan lakonan saya. "Dia juga minta saya pulang ke Kuala Lumpur dan bekerja bersungguh-sungguh," ujarnya kepada mStar Online. Tambahnya, selepas peristiwa itu rezeki semakin murah dan tawaran berlakon tidak pernah putus. Pekin berkata, disebabkan itu juga, dia sentiasa memberitahu ibunya terlebih dahulu tentang tawaran dan filem yang diterima. "Alhamdulillah, saya percaya doa ibu itu yang membuatkan saya sentiasa dilindungi dan rezeki sentiasa ada. "Setiap kali saya dapat tawaran dia orang pertama yang saya beritahu dan ibu juga peminat serta pengkritik tegar saya," ujarnya. Dalam pada itu, Pekin juga memberitahu pernah hidup merempat dan cuba mendekati beberapa orang yang dikaguminya dalam industri bagi mencari peluang untuk berlakon. Dia juga tidak pernah menggunakan jalan mudah untuk berada dalam industri ini. "Saya bermula semuanya daripada bawah dan belajar sedikit demi sedikit. Saya cuba mendekati dan belajar dengan beberapa orang yang saya kagumi seperti pengarah Mamat Khalid dan Khir Rahman. "Mereka banyak membantu kerjaya saya dan tidak sangka kami menjadi kawan baik hingga hari ini. Dulu saya selalu buat muka tidak malu untuk berjumpa mereka," ujarnya. Dalam pada itu, Pekin berkata, perjuangannya dalam industri bukan untuk menjadi seorang pelakon sahaja, malah dia bercita-cita untuk menjadi seorang tenaga pengajar yang dapat membantu pelapis dalam industri seni tanah air.