PETALING JAYA: Kumpulan Hydra menyifatkan penglibatan mereka yang masih baru dalam industri seni muzik tempatan bukan satu penghalang untuk terus mencipta nama di persada antarabangsa. Vokalisnya, Sayed Sahlan Sayed Hamid atau Lan berkata, kumpulannya itu sudah 10 tahun berkecimpung dalam muzik underground dan kerana itu mereka sudah pun mempunyai peminat tersendiri termasuklah di luar negara. "Dari dulu sampai sekarang, kami membuat persembahan di rata-rata tempat termasuklah di luar negara. Dan sekarang kami cuba melangkah ke arus perdana pula untuk lebih dikenali. "Walaupun masih baru, kami yakin muzik kami mampu menarik minat semua pihak termasuklah masyarakat luar negara. "Pada hujung tahun ini kami akan ke Bandung dan Surabaya, Indonesia bagi memenuhi undangan persembahan manakala pada tahun hadapan di Amerika Syarikat dan Jerman pula," katanya kepada mStar Online. Selain Lan, Hydra turut dianggotai pemain bass, Boy (Mohd Faizul Azril Isa), drum, I-Zad (Ahmad Aizad Mohamed Fauzi), keyboard, Jezz (Kamas Jezzriq Eddie Kismilardy) dan gitar utama, G-Beng (Mohd Fadzil Abdul Wahab). Sementara itu, Hydra turut mempertaruhkan album sulung mereka berjudul Sinergi sebagai langkah pertama mereka di dalam dunia hiburan arus perdana. Sinergi yang kini sudah pun berada di pasaran memuatkan sebanyak lima buah lagu termasuklah Hujung Mentari (lagu runut bunyi filem Dampak), Damai, Pergilah, Precious Queen dan Waris. Boy berkata, lagu-lagu tersebut telah dihasilkan dalam tempoh masa enam bulan dengan memberi fokus terhadap susunan muzik yang berkonsepkan rock. "Setiap karya yang dihasilkan mempunyai nilai tersendiri, tidak seperti lagu saduran yang sering kami persembahkan di pub. "Sebaliknya mesej yang dibawakan mengenai kedamaian, kasih sayang dan kesatuan kumpulan kami. Kami ingin menjadi pembakar semangat kepada generasi muda," ujarnya. Sinergi telah diterbitkan oleh label persendirian kumpulan itu iaitu Hydranation dan diuruskan sepenuhnya oleh syarikat pengurusan bakat, Thrive Talent Tank. Album berkenaan juga boleh didapati di semua laman muat turun utama seperti CDBaby, iTunes, Amazon manakala ia juga boleh dibeli di kedai-kedai muzik berdekatan. Untuk maklumat lanjut layari laman Facebook Hydra di www.facebook.com/HydraMalaysia atau Twitter mereka www.twitter.com/HydraMalaysia. Peminat juga boleh menonton koleksi klip video mereka di http://www.youtube.com/channel/UCiLufWIHFa2X_NLgNvDzL5Q