suria

Pertandingan Bantu Artis Lama Jadi Lebih Baik-Dayang Nurfaizah

Dayang tidak fikir tentang ketelusan Anugerah Juara Lagu yang sering diperkatakan segelintir artis lama.
PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah melihat sesebuah pertandingan yang disertai adalah sebagai salah satu cara untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 32, berkata, biarpun sebagai artis berpengalaman dia tidak mahu menjadi terlalu selesa dengan hanya melakukan persembahan pentas.

"Bagi saya pertandingan menjadikan seorang artis itu menjadi lebih baik dan boleh memperbaiki diri mereka untuk terus maju.

"Jika hanya buat persembahan biasa sahaja ia hanya menjadikan saya terlalu selesa dan malas. Apabila ada persaingan dalam pertandingan kita akan lebih banyak berfikir untuk jadi terbaik," ujarnya kepada mStar Online.

Dayang berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pendapat segelintir artis berpengalaman yang sudah tidak mahu menyertai sebarang pertandingan melibatkan artis-artis baharu.

Dayang turut bersaing dalam malam minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 29 yang diadakan di Sri Pentas 2, Shah Alam, malam Jumaat. 

Lagu nyanyian Dayang berjudul Di Pintu Syurga turut diumum sebagai lagu terbaik pada malam tersebut mengalahkan 11 buah lagu yang bertanding pada malam tersebut. 

Jelas Dayang, dia menganggap persaingan dengan artis-artis baharu merupakan perkara yang sihat bagi menjadikan dirinya masih releven.

Katanya, kesemua artis-artis baharu mempunyai bakat dan kehebatan mereka tersendiri.

"Semua artis baru bagus-bagus dan mempunyai kehebatan mereka sendiri. Saya rasa ia merupakan perkembangan yang sihat untuk bersaingan dengan mereka.

"Pada awalnya memang agak gementar juga untuk bersaing dengan mereka kerana saya rasa sudah tidak releven lagi, tetapi saya juga tidak mahu mengalah dan cuba beri yang terbaik," ujarnya.


Sementara itu, mengulas tentang ketelusan penjurian Anugerah Juara Lagu yang sering dipertikaikan segelintir artis, Dayang berkata, dia tidak memikirkan tentang hal tersebut.

Jelasnya, dia hanya bertanggungjawab untuk menyampaikan lagu yang diamanahkan oleh komposer dan penulis lirik dengan baik.

Lagu Di Pintu Syurga dicipta oleh Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran.
Dayang Nurfaizah

Artikel Sebelum

Artikel Lain