PETALING JAYA: Selepas tujuh tahun membabitkan diri dalam dunia muzik, penyanyi Aizat Amdan kini sudah bersedia untuk mengembangkan bakat ke dalam dunia lakonan pula. Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 25, berkata, sejak terlibat dengan filem Istanbul Aku Datang, dia mula berminat mendalami kerjaya lakonan dan ingin mendalami bidang tersebut. "Seronok juga berlakon, kerana ia sebahagian dunia seni dalam indutsri hiburan. Tetapi itulah, muka saya tak serupa pelakon. Hahaha.. "Tetapi saya bersedia menerima sebarang tawaran sekiranya ada pihak yang berminat," katanya. Tambah Aizat, dia percaya, kerja lakonan juga mampu mengasah bakat seni muzik daripada segi cara penyampaian ketika persembahan dilakukan walaupun muzik dan lakonan adalah dua bidang yang berbeza. Sementara itu, Aizat memberitahu, dia bakal menerbitkan album ketiganya pula pada tahun depan dan ia kini masih lagi dalam proses pembikinan. Kata penyanyi yang popular dengan lagu Susun Silang Kata itu, album tersebut akan memberi kelainan berbanding lagu-lagunya yang pernah diterbitkan sebelum ini. "Saya sedar, kebanyakan lagu yang dihasilkan sebelum ini tidak sekuat Hanya Kau Yang Mampu, atau Lagu Kita, ketika di awal kemunculan saya. "Jadi untuk album kali ini saya ingin menghasilkan lagu-lagu yang boleh menimbulkan fenomena seperti dulu, InsyaAllah," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aizat juga muncul dengan single lagu baharu berjudul Kembali, sebagai lagu tema drama bersiri Seludup, yang bakal disiarkan bermula 4 Disember depan. "Apabila peminat mendengar lagu ini, mereka pasti aku terkejut dengan muzik yang saya bawakan yang berkonsep Alternatif Rock, belum pernah saya bawakan lagi. Saya harap mereka menerima lagu tersebut," tuturnya.